Pergi ke kandungan

Cerita rekaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Cereka)
Ilustrasi dari novel Lewis Carroll Alice's Adventures in Wonderland, menggambarkan protagonis cereka, Alice, bermain permainan fantasi kroket.

Cerita rekaan (Jawi: ‏چريتا ريکاءن‌‎‎) atau singkatannya cereka (disebut [cĕ.ré.ka], Jawi: چريک‎; juga dipanggil cereka atau fiksi) ialah sebarang karya kreatif, terutamanya karya naratif sastera penulisan, yang menggambarkan individu, peristiwa, atau tempat yang dicipta daripada imaginasi penulis dan bersifat khayalan.[1][2][3] Gambaran cereka oleh itu adalah tidak selaras dengan fakta, sejarah, atau kemunasabahan. Dalam pengertian sempit yang tradisional, cereka merujuk kepada naratif bertulis dalam bentuk prosa – selalunya secara khusus adalah novel, novela, dan cerpen.[4][5] Walau bagaimanapun, secara lebih meluas, cereka juga boleh merangkumi naratif khayalan yang diekspresikan dalam mana-mana medium, termasuk bukan sahaja tulisan tetapi juga persembahan teater secara langsung atau sandiwara, sinematik atau filem, rancangan televisyen, drama audio, komik, karya muzik, permainan peranan, dan permainan video.

Definisi dan teori

[sunting | sunting sumber]

Lazimnya, sifat cereka sesebuah karya itu diekspresikan secara terbuka, oleh itu penonton menjangkakan sesebuah karya cereka untuk menyimpang ke tahap yang lebih besar atau lebih kecil daripada dunia nyata, dan bukannya sekadar menampilkan contohnya, gambaran atau watak yang tepat berdasarkan fakta yang merupakan orang sebenar.[6] Memandangkan cereka secara umumnya difahami sebagai tidak terikat dengan dunia nyata, tema dan konteks sesebuah karya cereka, seperti sama ada dan bagaimana ia berkait dengan isu atau peristiwa dunia nyata, adalah terbuka kepada tafsiran.[7] Memandangkan cereka paling lama tertumpu dalam bidang kesusasteraan (cereka naratif bertulis), kajian luas mengenai sifat, fungsi, dan makna cereka dipanggil teori sastera, manakala tafsiran yang lebih sempit mengenai teks-teks cereka yang spesifik dipanggil kritikan sastera (dengan subset seperti kritikan filem dan kritikan teater kini juga telah lama bertapak). Selain daripada kaitan dengan dunia nyata, sesetengah karya cereka mungkin memaparkan watak dan peristiwa dalam konteks mereka sendiri, terpisah sepenuhnya daripada alam fizikal yang diketahui: iaitu sebuah alam semesta cereka yang bebas. Seni kreatif membina dunia khayalan sedemikian dikenali sebagai pembinaan dunia.[8]

Pengkritik sastera James Wood berhujah bahawa "cereka adalah kedua-dua helah dan verisimilitud", bermakna ia memerlukan kedua-dua ciptaan kreatif dan juga tahap kebolehpercayaan yang boleh diterima oleh penontonnya,[9] satu gagasan yang sering dirangkumkan dalam idea oleh penyair Samuel Taylor Coleridge mengenai penangguhan ketidakpercayaan secara rela oleh para penonton. Selama berabad-abad, para sarjana telah meneliti tentang kesan-kesan apabila mendalami cereka, serta cara penonton berubah berdasarkan maklumat baharu yang mereka temui melalui bahan rekaan tersebut. Kemungkinan cereka yang tidak terbatas itu sendiri memberi isyarat provokatif yang menonjolkan gagasan falsafah, seperti potensi ketiadaan kriteria bagi mengukur konstruk realiti mahupun kemustahilan bagi mengetahui realiti itu secara sepenuhnya.[10]

Cereka dan realiti

[sunting | sunting sumber]

Cereka berbanding bukan cereka

[sunting | sunting sumber]

Berbeza dengan cereka, para pencipta bukan cereka (bukan fiksyen) memikul tanggungjawab untuk membentangkan maklumat (seperti biografi, sejarah, pengalaman) dan kadangkala pendapat yang berdasarkan semata-mata pada realiti sejarah dan fakta. Di sebalik pandangan tradisional yang menganggap cereka dan bukan cereka itu adalah berlawanan, sesetengah karya (terutamanya pada era moden) mengaburkan sempadan ini, khususnya bagi karya-karya yang tergolong di bawah genre penceritaan eksperimen tertentu—termasuklah beberapa cereka pascamoden, autocereka,[11] atau bukan cereka kreatif seperti novel bukan cereka dan dokudrama—serta juga penipuan sastera yang disengajakan dengan memasarkan secara salah karya cereka sebagai bukan cereka.[12]

Perbezaan di antara bukan cereka dan cereka mungkin paling tepat untuk ditakrifkan dari sudut pandangan penonton, yang mana sesebuah karya itu dikira sebagai bukan cereka sekiranya orang, latar, dan plotnya dianggap sepenuhnya sebagai realiti sejarah atau fakta, manakala sesebuah karya itu pula akan dianggap sebagai cereka sekiranya ia menyimpang daripada realiti dalam mana-mana aspek tersebut.

Malah kebanyakan karya cereka juga kebiasaannya mempunyai elemen, atau berlandaskan pada, kebenaran dari sesuatu jenis, atau kebenaran dari sudut pandangan yang tertentu. Kesemua jenis cereka menjemput para penontonnya untuk meneroka pelbagai idea, isu, atau pemahaman di dunia nyata (dipanggil tema) dengan menggunakan latar, siri kejadian, atau hal lain yang menyerupai realiti yang sebaliknya bersifat khayalan, walaupun ia masih kekal berbeza daripadanya. Cereka mungkin memasukkan atau merujuk kepada fakta atau peristiwa sebenar oleh si penulis sebagai sumber inspirasi.[nota 1][nota 2]

Cereka spekulatif berbanding realistik

[sunting | sunting sumber]

Genre payung cereka spekulatif dicirikan oleh tahap pematuhannya yang lebih rendah ke atas individu, peristiwa, atau tempat yang bersifat realistik atau munasabah, sementara genre payung cereka realistik dicirikan oleh tahap pematuhan yang jauh lebih besar. Misalnya, cereka spekulatif mungkin menggambarkan sebuah alam semesta khayalan secara keseluruhan atau alam di mana hukum-hukum alam semula jadi tidak dapat diaplikasikan secara mutlak (selalunya, bagi subgenre fantasi). Ataupun, ia memaparkan detik-detik peristiwa bersejarah yang sebenar, cuma ianya berakhir dengan cara khayalan secara mutlak atau disusuli dengan pelbagai peristiwa baharu besar yang juga berunsur khayalan secara sepenuhnya (genre sejarah alternatif). Atau, ia memaparkan teknologi mustahil ataupun teknologi yang menentang keupayaan atau sebarang pemahaman saintifik semasa (genre cereka sains).

Sebaliknya, cereka realistik melibatkan sebuah penceritaan yang mana latar asasnya (waktu dan lokasi di dunia) adalah, pada hakikatnya, benar dan peristiwa di dalamnya boleh berlaku secara munasabah dalam konteks dunia nyata. Salah satu subgenre cereka realistik ialah cereka sejarah, yang berpaksikan pelbagai peristiwa utama sebenar berserta tempoh masa pada masa lalu.[15] Satu percubaan untuk menjadikan sesebuah cerita itu berasa setia dengan realiti atau untuk menerangkan butiran secara lebih objektif, berserta dengan kewujudan gerakan seni abad ke-19 yang mula mempromosikan pendekatan ini dengan hebat, dipanggil sebagai realisme sastera, yang menggabungkan beberapa karya dari jenis cereka dan juga bukan cereka.

Penceritaan telah pun wujud dalam kesemua jenis budaya manusia, dan setiap budaya menggabungkan elemen kebenaran dan cereka yang pelbagai dan berbeza ke dalam penceritaan. Cereka awal lazimnya dikaitkan secara rapat dengan sejarah dan mitos. Penyair Yunani seperti Homer, Hesiod, dan Aesop telah mengembangkan cerita-cerita rekaan yang mula diceritakan menerusi penceritaan lisan dan seterusnya dalam bentuk tulisan. Cereka prosa telah dibangunkan di Yunani Kuno, hasil pengaruh daripada amalan tradisi penceritaan dari Asia dan Mesir. Karya cereka yang ketara tidak diiktiraf sebagai terpisah daripada ceritera-ceritera sejarah atau mitologi sehinggalah bermulanya zaman empayar. Naratif plasmatik, yang berlatarkan watak serta kejadian yang dicipta secara keseluruhannya, telah dibangunkan menerusi drama purba dan Komedi Baru.[16] Satu struktur lazim dalam kalangan cereka awal ialah kewujudan siri pengembaraan yang pelik lagi menakjubkan di mana barisan penulis terdahulu cuba untuk menguji batas-batas bagi penulisan rekaan. Kisah Milesia merupakan salah satu contoh awal buat penulisan cereka di Yunani Kuno dan Itali. Apabila penulisan cereka semakin berkembang di Yunani Kuno, watak-watak yang bertepatan dan senario yang munasabah lebih ditekankan bagi mengeratkan lagi perhubungan dengan para penonton, yang turut menyelitkan elemen-elemen seperti percintaan, kegiatan lanun, dan upacara keagamaan. Romantik heroik telah dibangunkan sewaktu era Eropah zaman pertengahan, yang menggabungkan elemen berkaitan dengan fantasi, termasuklah elemen kuasa ghaib dan kesateriaan.[17]

Struktur novel moden telah dibangunkan oleh Miguel de Cervantes menerusi karyanya iaitu Don Quixote pada awal abad ke-17.[18] Novel lantas menjadi sebuah medium utama bagi cereka sewaktu abad ke-18 dan ke-19. Ianya sering dikaitkan dengan idea-idea Pencerahan seperti empirisisme dan agnostisisme. Realisme berkembang sebagai gaya sastera pada ketika ini.[19] Satu bentuk media massa yang baharu telah berkembang pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, yang mencakupi majalah-majalah cereka popular serta karya filem terawal.[20] cereka interaktif telah dibangunkan pada penghujung abad ke-20 menerusi kewujudan permainan video.[21]

Elemen (Unsur-unsur terzahir)

[sunting | sunting sumber]

Elemen asas tertentu dapat mentakrifkan semua bentuk karya naratif, tidak terkecuali kesemua karya cereka naratif. Secara khususnya, kesemua naratif merangkumi pelbagai elemen watak, konflik, ragam naratif, plot, latar, dan tema. Watak merujuk kepada individu-individu di dalam sesebuah karya penceritaan, konflik pula ialah ketegangan atau masalah yang memacu tindak-tanduk serta corak pemikiran watak, ragam naratif mencerminkan cara sesuatu cerita itu disampaikan, plot merupakan urutan demi urutan peristiwa di dalam sesebuah cerita, latar adalah mengenai penetapan masa dan ruang di lokasi penceritaan tersebut, sementara tema pula ialah mesej atau tafsiran yang lebih mendalam mengenai cerita itu yang ditinggalkan kepada para penonton untuk dibincangkan dan direnungi.

Seksyen cereka di sebuah kedai buku

Secara tradisinya, cerita rekaan atau cereka termasuk novel, novela, cerita pendek, fabel, legenda, mitos, cerita dongeng, epik dan puisi naratif, sandiwara (termasuklah opera, muzikal, drama, permainan boneka, dan pelbagai jenis tarian teatrikal). Walau bagaimanapun, cereka juga merangkumi buku komik, dan banyak siri kartun animasi, gerak henti, anime, manga, filem, dan lain-lain.

Kemajuan teknologi telah mempelbagaikan kemungkinan di mana penceritaan sesebuah karya rekaan itu dapat disampaikan, daripada bentuk audio (program radio) hinggalah ke bentuk visual yang boleh dirakam (filem, rancangan televisyen - baik komedi dan drama); malah juga boleh dihasilkan daripada gambaran yang digerakkan dengan sendiri mahupun secara interaktif (permainan video).

Pembangunan Internet telah memberikan impak yang sangat besar terhadap aspek penciptaan serta pengedaran cereka, sehinggakan ia telah mempersoalkan kebolehlaksanaan hak cipta sebagai alat bagi memastikan jumlah royalti ada dibayar kepada barisan pemegang hak cipta.[22] Selain itu, sumber-sumber perpustakaan digital seperti Projek Gutenberg telah menjadikan pelbagai teks domain awam lebih mudah didapati. Gabungan faktor seperti ketersediaan komputer rumah yang murah, capaian Internet yang meluas, berserta kreativiti para penggunanya secara tidak langsung telah membawa kepada penemuan bentuk-bentuk cereka yang baharu, seperti ciptaan permainan komputer interaktif ataupun hasil rekaan komik janaan komputer. Forum-forum bagi kandungan cereka peminat yang tidak terkira banyaknya pula boleh ditemui dalam talian, di mana kelompok pengikut setia bagi sesuatu alam cereka tertentu akan mencipta serta mengedarkan beraneka kisah-kisah terbitan (derivatif). Sistem Internet juga sering digunakan untuk tujuan pembangunan platform cereka blog, di mana sebuah cerita itu boleh disampaikan melalui sebuah blog sama ada dalam bentuk cereka kilat mahupun blog bersiri, dan juga medium cereka kerjasama, di mana isi penceritaannya itu ditulis secara berurutan oleh barisan pengarang yang berbeza, ataupun seluruh teks penceritaannya boleh disemak dengan mudah oleh sesiapa sahaja menggunakan sistem wiki.

Penulisan cereka

[sunting | sunting sumber]

Cereka sastera

[sunting | sunting sumber]

Definisi bagi cereka sastera sering menjadi satu topik yang kontroversi. Istilah ini selalunya boleh merujuk kepada sebarang bentuk karya cereka yang dizahirkan dalam bentuk tulisan. Bagaimanapun, terdapat juga pelbagai jenis definisi lain yang turut wujud, termasuklah penakrifan bahawa ia merupakan sebuah karya cereka bertulis yang mana ia:

  • tidak sesuai dan tidak secocok untuk dimasukkan ke dalam sebarang genre yang sudah mula bertapak utuh (bertentangan dengan apa yang dipanggil cereka genre), apabila ia digunakan sebagai label pemasaran di dalam sektor perdagangan buku
  • lebih dipacu oleh watak dan bukannya didorong oleh perjalanan plot
  • menelusuri secara terperinci mengenai persoalan keadaan sifat kemanusiaan
  • mempergunakan ciri gaya bahasa melalui kaedah eksperimen ataupun di dalam pendekatan yang puitis
  • lebih lazim dianggap serius sebagai salah satu hasil karya seni kebudayaan[23]

Cereka sastera sering kali digunakan sebagai perkataan sinonim kepada ungkapan kesusasteraan, dalam pengertian sempit mengenai kelompok bidang penulisan yang secara khususnya dikira tergolong sebagai suatu bentuk seni seni.[24] Biarpun cereka sastera ini adakalanya dipandang tinggi dan dianggap jauh lebih megah berbanding gaya cereka genre, namun hakikatnya kedua-dua cabang ini tidaklah eksklusif secara mutlak, sementelah rata-rata tokoh karyawan sastera utama pada zaman ini sendiri telah pun menggunakan medium genre cereka sains, cereka jenayah, romantik, dsb., bagi menghasilkan mahakarya sastera moden yang disegani. Selain itu juga, sektor kajian mengenai cabang cereka genre ini telah pun kian meluas perkembangannya dalam kelompok ahli akademik sepanjang tempoh beberapa dekad kebelakangan ini.[25]

Istilah ini adakalanya sering juga digunakan ibarat menyamakan takrifan bidang cereka sastera ini ke dalam ruang lingkup kesusasteraan. Tahap ketepatan andaian mengenai perkara ini bagaimanapun sering kali diperdebatkan. Neal Stephenson sebelum ini telah mencadangkan bahawa, walaupun mana-mana definisi bagi kedua-dua ungkapan ini nampak mudah untuk dimengertikan, namun hakikatnya ketika ini ada wujudnya satu jurang perbezaan budaya yang lebih ketara dan umum di antara ruang sastera dan persekitaran cereka genre itu sendiri. Pada satu sudutnya barisan pengarang sastera hari ini selalunya disokong menerusi tajaan sumbangan penaungan, ditambah lagi dengan wujudnya tawaran pelantikan pekerjaan di universiti ataupun di institusi yang seumpama dengannya, berserta prospek kesinambungan tawaran jawatan yang lebih terjamin kelangsungannya yang sebahagian besarnya langsung tidak ditentukan oleh seberapa angka jumlah jualan buku sebaliknya hal ini disokong bersandarkan kepada kekuatan kritikan sanjungan pujian oleh sesama pengarang sastera terkemuka dan juga kelompok barisan pengkritik masyhur. Di sisi lain pula, dia turut menyarankan perihal yang para pengarang cereka genre sebaliknya kelihatan cenderung untuk menampung perbelanjaan kehidupan mereka dengan bergantung harap semata-mata kepada keuntungan jualan buku.[26] Walau bagaimanapun, semasa dalam satu sesi temu bual ringkas, John Updike secara terbuka telah menyuarakan rasa kesalnya lantas mengeluh bahawa "kategori bagi 'cereka sastera' ini baharu sahaja muncul buat kebelakangan ini tidak lain tidak bukan tujuan hakikinya semata-mata hanyalah untuk menyeksa golongan penulis biasa seperti saya ini yang pada dasarnya sekadar bertungkus-lumus menghasilkan buku-buku cerita, dan sekiranya memang ada seseorang yang ingin dan sudi meluangkan masa mereka membacanya, teramatlah bagus, ya sememangnya lebih ramai itulah lebih meriah. ... Ya sememangnya saya sendiri ini pun tidak ubah seperti seorang pelopor buat golongan sang penulis genre juga rasanya kalau boleh dianggap sedemikian rupa. Saya menulis penulisan naratif cereka sastera, yang pada hakikatnya sebenarnya amat tidak ada bezanya pun daripada format pengisahan cereka penyiasatan intipan risikan yang serba penuh misteri ataupun karya-karya chick lit".[27] Begitu juga halnya, tatkala bersiaran di sebuah program bertajuk The Charlie Rose Show, dia dengan tegasnya berhujah bahawasanya pengenalan istilah ini, tatkala ianya cuba diaplikasikan bagi mewakili tahap takrifan pengklasifikasian untuk karya hasil sentuhan tangannya, secara tidak langsung ianya dilihat begitu sangat membatasi kebolehupayaan tahap kreativitinya serta mencalar sama sekali jangkaan peribadinya mengenai sejauh mana impak kekuatan pengaruh yang mungkin mampu dijaminkan bakal terbit dari olahan hasil karya penulisannya, lantas menjadikan ini asbab mengapa dia secara peribadinya amat tidak berapa menggemari dan tidak menyukainya sama sekali.[28] Beliau memberi bayangan cadangan bahawa kesemua hasil kerja penulisannya sewajarnya perlu sentiasa kekal utuh dianggap sebagai satu komponen cabang sastera, atas alasan yang cukup ringkas yang bersandarkan semata-mata atas tiket kelayakan kerana kesemuanya itu secara terang-terangan terbukti "dikarang dalam bentuk perkataan".[29]

Cereka sastera selalunya kerap melibatkan aspek penerapan unsur seperti lontaran ulasan sosial, pelbagai intipati berbaur kritikan politik, ataupun renungan muhasabah berkisarkan ihwal keadaan manusia.[30] Pada amnya, ianya lebih memfokuskan kepada perincian penelitian yang disifatkan sebagai "mendalam, kajian analisis secara menyeluruh mengenai watak" bagi pelbagai perwatakan yang dilihat cukup "menarik, rumit serta berkembang".[30] Pendekatan sebegini berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan cereka genre yang mana di sana sememangnya dapat dilihat pergerakan plot penceritaan itu sendirilah yang lebih didominasi diangkat menjadi satu-satunya intipati tumpuan keutamaan yang sangat meluas.[31] Kebiasaannya dalam cereka sastera keutamaan fokus lebih terarah kepada "penceritaan dalaman" bagi watak-watak yang memacu kelancaran alur perjalanan naratif plot tersebut, dan ini sentiasa disertakan sekali dengan perincian motivasi terperinci yang digarap demi menimbulkan "keterikatan emosi" di kalangan para pembaca. Gaya corak penulisan bagi susunan komposisi di dalam bidang cereka sastera sering kali digambarkan sebagai telah "dikarang dengan elegan, puitis liriknya, berserta... berlapis-lapis dimensi maknanya".[32] Penggunaan nada pada siri penceritaan cereka sastera adakalanya kelihatan dapat dirasakan berubah menjadi sedikit lebih suram dan gelap berbanding cereka genre,[33] manakala rentak perjalanan di dalam arena cereka sastera mungkin terasa jauh lebih perlahan jika hendak dibandingkan dengan corak kelajuan rentak plot cereka popular.[33] Seperti yang dinyatakan oleh Terrence Rafferty, "cereka sastera, berdasarkan sifat semula jadinya, membenarkan dirinya untuk berlengah-lengah, merenung pelbagai keindahan yang tersasar waima jika ia berhadapan dengan risiko untuk tersesat haluannya".[34]

Jenis atau genre

[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan kepada bagaimana cereka sastera ditakrifkan, maka cereka genre berkemungkinan wujud sebagai subkategorinya (karya cereka bertulis yang diselaraskan dengan sesebuah genre yang tertentu), atau kewujudannya merujuk kepada sesuatu yang berlawanan dengannya: satu takrifan label penilaian untuk cereka bertulis yang merangkumi produk-produk budaya popular, dengan menganggapnya sebagai jauh lebih rendah secara artistik atau intelektualnya berbanding prestij budaya tinggi.

Karya cereka pada umumnya terbahagi menjadi sejumlah genre yang masing-masing dibezakan oleh nada penyatuan atau gaya tertentu; set teknik naratif, arketip, atau trop lain; kandungan media; atau kriteria lazim yang didefinisikan secara umum.

Cereka boleh dihasilkan berdasarkan imaginasi pengkarya, namun ada juga karya yang ceritanya terbentuk berdasarkan fakta yang kukuh:[35]

  • Cereka sejarah (Historical fiction) – didasarkan kepada kajian atau catatan sejarah sebagai latar. Novel ini terikat oleh fakta-fakta sejarah, tetapi cereka ini memberikan ruang gerak untuk mereka jalan cerita yang banyak kemungkinan, misalnya melalui luahan fikiran dan perasaan tokoh dalam sesuatu percakapan. Dalam novel sejarah keluaran 1814 bertajuk Waverley, watak khayalan ciptaan Sir Walter Scott yang bernama Edward Waverley telah ditakdirkan untuk bertemu dengan susuk tokoh dari sejarah lampau iaitu Bonnie Prince Charlie, dan secara kebetulannya watak Edward turut mengambil bahagian mengharungi kancah Pertempuran Prestonpans.
  • Cereka sains (Science fiction) – didasarkan kepada ilmu pengetahuan atau penemuan sains[35] yang meramalkan atau membayangkan kewujudan teknologi yang belum lagi menjadi realiti atau dibangunkan pada masa ia ditulis. Contohnya, novel From the Earth to the Moon karya Jules Verne telah diterbitkan pada tahun 1865, namun hanya pada 1969 baharulah angkasawan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjaya muncul menjadi manusia pertama yang mendarat di Bulan.
  • Cereka biografi (Biographical fiction) – didasarkan kepada biografi. Karya biografis juga memberikan ruang bagi kecerekaan; misalnya yang berupa sikap yang diberikan oleh penulis, di samping juga munculnya bentuk-bentuk dialog.[35] Sebagai contoh karya biografis adalah Bung Karno Penyambung Lidah Rakyat karya Cindy Adams, Kuantar Kau ke Gerbang dan Tahta untuk Rakyat.

Beberapa karya cereka sedikit atau sangat diimaginasikan semula berdasarkan pada beberapa kisah benar yang asli, atau sebuah biografi yang dikarang semula.[36] Sering kali, walaupun ketika cerita cereka didasarkan pada fakta, mungkin terdapat penambahan dan pengurangan daripada kisah nyata untuk menjadikannya lebih menarik. Contohnya adalah The Things They Carried karya Tim O'Brien, sebuah siri cerita pendek tahun 1990 mengenai Perang Vietnam.

Karya cereka yang secara ketaranya melibatkan unsur-unsur supernatural, magis, atau secara saintifiknya mustahil sering diklasifikasikan dalam genre fantasi, termasuk novel karya Lewis Carroll Alice's Adventures in Wonderland, siri Harry Potter karya J. K. Rowling, dan The Lord of the Rings karya J. R. R. Tolkien. Pencipta fantasi kadangkala memperkenalkan makhluk khayalan dan entiti ciptaan seperti naga dan pari-pari.[3]

Jenis mengikut bilangan perkataan

[sunting | sunting sumber]

Jenis-jenis karya cereka bertulis dalam format prosa lazimnya dibezakan secara relatif menerusi panjang penceritaannya dan ini merangkumi:[37][38]

Proses penulisan cereka

[sunting | sunting sumber]

Penulisan cereka merupakan proses di mana seorang pengarang atau pencipta menghasilkan sebuah karya khayalan. Beberapa elemen proses penulisan mungkin dirancang lebih awal, manakala ada elemen lain yang mungkin muncul secara spontan. Penulis cereka menggunakan gaya penulisan yang berbeza dan mempunyai suara penulis yang tersendiri ketika mengarang pelbagai cerita rekaan.[41]

Pencerekaan sebagai satu konsep

[sunting | sunting sumber]
Di dalam filem satira 1940 berjudul The Great Dictator, pelakon dan pelawak Inggeris iaitu Charlie Chaplin membawakan watak sebagai seorang penguasa kuku besi yang eksentrik bernama Adenoid Hynkel, yang mana jelas kepada para penonton pada zaman berkenaan bahawa ia merupakan versi cereka bagi susuk Adolf Hitler dan mengadaptasi peristiwa sebenar yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua.

Penggunaan peristiwa atau individu sebenar sebagai inspirasi langsung untuk peristiwa atau individu khayalan dikenali sebagai pencerekaan (atau fiksyenalisasi). Keadaan yang sebaliknya pula, di mana dunia fizikal atau peristiwa yang benar-benar berlaku seolah-olah dipengaruhi oleh cereka masa lalu, kebiasaannya digambarkan oleh frasa "kehidupan meniru seni". Frasa ini lebih popular kerana sering dikaitkan dengan seorang penulis cereka berdarah Inggeris-Ireland yang bernama Oscar Wilde.[42]

Pengubahan kejadian sebenar kepada format cereka, di mana ia turut melibatkan suatu representasi dramatik tentang peristiwa atau orang sebenar, turut dikenali sama ada sebagai pencerekaan, atau dalam skop yang lebih sempit lagi bagi karya persembahan visual seperti di teater dan filem, ia diistilahkan sebagai pendramaan. Menurut penerbitan akademik Oxford Reference, sesebuah karya yang ditetapkan menerusi cara sebegini akan mempunyai sebuah "naratif yang dibina dengan sama ada sebahagian mahupun keseluruhannya adalah bersandarkan fakta tetapi ditulis seolah-olah ia adalah naskhah cereka" sehinggakan "[f]ilem-filem dan drama siaran dari jenis ini sering menampilkan label 'berdasarkan sebuah kisah benar'." Dalam kajian intelektual, amalan menilai proses ini merupakan sebahagian daripada pengajian media.[43]

Contoh pencerekaan yang ketara di dalam seni kreatif termasuklah karya yang berada dalam konteks am mengenai Perang Dunia II dalam budaya popular dan khususnya terhadap barisan pemimpin Jerman Nazi seperti susuk Adolf Hitler dalam budaya popular dan Reinhard Heydrich dalam budaya popular. Misalnya, pelakon dan pelawak British Charlie Chaplin pernah menghidupkan watak seorang penguasa kuku besi yang eksentrik bernama Adenoid Hynkel di dalam filem satira 1940 berjudul The Great Dictator. Tokoh yang kurang siuman dan tidak cerdik itu telah memcereka peristiwa sebenar daripada kemelut Perang Dunia Kedua yang sedang berlaku pada ketika itu, dalam satu cara yang memaparkan individu-individu fasis sebagai golongan yang kelakar, tidak rasional serta menyedihkan. Terdapat banyak lagi watak penjahat lain yang mengambil inspirasi daripada orang sebenar sambil mempunyai aksen, penampilan, latar belakang, nama, dan lain-lain lagi yang bersifat rekaan semata-mata.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ Seperti yang dijelaskan oleh ahli falsafah Stacie Friend, "semasa membaca kita akan menganggap bahawa karya cereka, sepertimana karya bukan cereka, adalah berkisarkan tentang dunia nyata – walaupun ianya mengajak kita untuk membayangkan dunia tersebut agar berbeza daripada keadaan sebenar. [Justeru], membayangkan sebuah dunia penceritaan itu tidak bermakna kita menghalakan imaginasi kita terhadap sesuatu selain daripada dunia nyata; ia sebaliknya merupakan satu bentuk aktiviti mental yang melibatkan pembinaan representasi kompleks tentang apa yang dipaparkan dalam penceritaan tersebut".[13]
  2. ↑ Penyelidikan oleh Weisberg dan Goodstein (2009) mendedahkan bahawa, walaupun tanpa dimaklumkan secara khusus bahawa, sebagai contoh, watak cereka Sherlock Holmes, mempunyai dua kaki, subjek-subjek mereka "secara konsisten mengandaikan bahawa terdapat beberapa fakta dunia nyata yang diketengahkan di dalam cereka tersebut, biarpun mereka peka terhadap jenis fakta dan realisme cerita itu."[14]
  1. ↑ "fiction". Lexico. Oxford University Press. 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Ogos 2019.
  2. ↑ Sageng, John Richard; Fossheim, Hallvard J.; Larsen, Tarjei Mandt, penyunting (2012). The Philosophy of Computer Games. Springer Science & Business Media. m/s. 186–187. ISBN 978-9400742499. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Mac 2017.
  3. 1 2 Harmon, William; Holman, C. Hugh (1990). A Handbook to Literature (ed. 7th). New York: Prentice Hall. m/s. 212.
  4. ↑ Abrams, M. h. (1999). A Glossary of Literary Terms (ed. 7th). Fort Worth, Texas: Harcourt Brace. m/s. 94.
  5. ↑ ""Definition of 'fiction". Oxford English Dictionaries (ed. Online). Oxford University Press. 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2022. Dicapai pada 25 Ogos 2015.
  6. ↑ Farner, Geir (2014). "Chapter 2: What is Literary Fiction?". Literary Fiction: The Ways We Read Narrative Literature. Bloomsbury Publishing. ISBN 978-1623564261. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2022. Dicapai pada 30 Januari 2015.
  7. ↑ Culler, Jonathan (2000). Literary Theory: A Very Short Introduction. Oxford University Press. m/s. 31. ISBN 978-0-19-285383-7. Non-fictional discourse is usually embedded in a context that tells you how to take it: an instruction manual, a newspaper report, a letter from a charity. The context of fiction, though, explicitly leaves open the question of what the fiction is really about. Reference to the world is not so much a property of literary [that is, fictional] works as a function they are given by interpretation.
  8. ↑ Hamilton, John (2009). You Write It: Science Fiction. Edina, Minn.: ABDO. m/s. 8–9. ISBN 978-1-61714-655-8. OCLC 767670861.
  9. ↑ Wood, James (2008). How Fiction Works. New York: Farrar, Straus & Giroux. m/s. xiii.
  10. ↑ Young, George W. (1999). Subversive Symmetry. Exploring the Fantastic in Mark 6: 45–56. Leiden: Brill. m/s. 98, 106–109. ISBN 90-04-11428-9.
  11. ↑ Iftekharuddin, Frahat, penyunting (2003). The Postmodern Short Story: Forms and Issues. Greenwood Publishing Group. m/s. 23. ISBN 978-0313323751. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2022. Dicapai pada 22 Mei 2015.
  12. ↑ Menand, Louis (2018). "Literary Hoaxes and the Ethics of Authorship". The New Yorker. Condé Nast. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Ogos 2022.
  13. ↑ Friend, Stacie (2017). "The Real Foundation of Fictional Worlds" (PDF). Australasian Journal of Philosophy. 95: 29–42. doi:10.1080/00048402.2016.1149736. S2CID 54200723. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 20 Julai 2018. Dicapai pada 24 November 2018.
  14. ↑ Goodstein, Joshua; Weisberg, Deena Skolnick (2009). "What Belongs in a Fictional World?". Journal of Cognition and Culture. 9 (1–2): 69–78. doi:10.1163/156853709X414647.
  15. ↑ Kuzminski, Adrian (1979). "Defending Historical Realism". History and Theory. 18 (3): 316–349. doi:10.2307/2504534. ISSN 0018-2656. JSTOR 2504534.
  16. ↑ Whitmarsh, Tim (2013). "The "Invention of Fiction"". Beyond the Second Sophistic: Adventures in Greek Postclassicism. University of California Press. m/s. 11–34. doi:10.1525/california/9780520276819.001.0001. ISBN 978-0520957022. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Ogos 2022. Dicapai pada 16 Ogos 2022.
  17. ↑ Dunlop, John Colin (1845). The History of Fiction (ed. 3rd). Longman, Brown, Green, and Longmans. m/s. 46, 55–56.
  18. ↑ Johnson, Carroll B. (2000). Don Quixote: The Quest for Modern Fiction. Waveland Press. m/s. 19. ISBN 978-1478609148.
  19. ↑ Chodat, Robert (2015). "The Novel". Dalam Carroll, Noël; Gibson, John (penyunting). The Routledge Companion to Philosophy of Literature (dalam bahasa Inggeris). Routledge. m/s. 83–. doi:10.4324/9781315708935. ISBN 978-1-315-70893-5. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2022. Dicapai pada 19 Ogos 2022.
  20. ↑ Thompson, Kristin (2003). Storytelling in Film and Television. Harvard University Press. m/s. 19. ISBN 978-0674010635.
  21. ↑ Niesz, Anthony J.; Holland, Norman N. (1984). "Interactive Fiction". Critical Inquiry (dalam bahasa Inggeris). 11 (1): 110–129. doi:10.1086/448277. ISSN 0093-1896. S2CID 224795950. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2022. Dicapai pada 19 Ogos 2022.
  22. ↑ Jones, Oliver. (2015). "Why Fan Fiction is the Future of Publishing Diarkibkan 19 Mei 2015 di Wayback Machine. " The Daily Beast. The Daily Beast Company LLC.
  23. ↑ Farner, Geir (2014). Buy Literary Fiction: The Ways We Read Narrative Literature by Geir Farner online in India – Bookchor. Bloomsbury Academic. ISBN 978-1623560249. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Disember 2021. Dicapai pada 6 Disember 2021.
  24. ↑ "Literature: definition". Oxford Learner's Dictionaries. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Jun 2021. Dicapai pada 21 Oktober 2021.
  25. ↑ Schneider-Mayerson, Matthew (2010). "Popular Fiction Studies: The Advantages of a New Field". Studies in Popular Culture. 33 (1): 21–23.
  26. ↑ "Neal Stephenson Responds With Wit and Humor". Slashdot.org. 20 Oktober 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Ogos 2019. Dicapai pada 12 November 2021.
  27. ↑ Grossman, Lev (28 Mei 2006). "Old Master in a Brave New World". Time. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mac 2023. Dicapai pada 19 Mac 2023.
  28. ↑ "The Charlie Rose Show from 14 June 2006 with John Updike". Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2009. Dicapai pada 12 November 2021.
  29. ↑ "The Charlie Rose Show from 14 June 2006 with John Updike". Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2009. Dicapai pada 12 November 2021.
  30. 1 2 Saricks 2009, m/s. 180.
  31. ↑ Saricks 2009, m/s. 181–182.
  32. ↑ Saricks 2009, m/s. 179.
  33. 1 2 Saricks 2009, m/s. 182.
  34. ↑ Rafferty 2011.
  35. 1 2 3 Nurgiyantoro, Burhan (1995). Teori Pengkajian Fiksi. Yogyakarta: Gadjah Mada University Press.
  36. ↑ Whiteman, G.; Phillips, N. (13 Disember 2006). "The Role of Narrative Fiction and Semi-Fiction in Organizational Studies". ERIM Report Series Research in Management. ISSN 1566-5283. SSRN 981296.
  37. ↑ Milhorn, H. Thomas (2006). Writing Genre Fiction: A Guide to the Craft Diarkibkan 28 September 2015 di Wayback Machine. Universal Publishers: Boca Raton. pp. 3–4.
  38. ↑ "What's the definition of a 'novella,' 'novelette,' etc.?". Science Fiction and Fantasy Writers of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mac 2009.
  39. ↑ Cuddon, J. A., The Penguin Dictionary of Literary Terms (1992). London: Penguin Books, 1999, p. 600.
  40. ↑ Heart of Darkness Novella by Conrad Diarkibkan 9 April 2017 di Wayback Machine – Encyclopædia Britannica.
  41. ↑ Doyle, Charlotte L. (1 Januari 1998). "The Writer Tells: The Creative Process in the Writing of Literary Fiction". Creativity Research Journal. 11 (1): 29–37. doi:10.1207/s15326934crj1101_4. ISSN 1040-0419.
  42. ↑ Eshraghi, Arman. "Council Post: Management Styles and Machine Learning: A Case of Life Imitating Art". Forbes. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Jun 2023. Dicapai pada 23 Jun 2023.
  43. ↑ "Fictionalization". Oxford Reference. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Jun 2023. Dicapai pada 22 Jun 2023.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]