Pergi ke kandungan

Genre filem

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

<!-* Terjemahan ini merujuk kepada panduan "Wiki format Malay translation". -->

Filem Barat ialah filem yang "berlatarkan Barat Amerika yang merangkumi semangat, perjuangan dan kejatuhan sempadan baharu".[1] Dalam gambar: Clint Eastwood dalam filem Barat Spageti A Fistful of Dollars (1964).

Sebuah genre filem ialah sebuah kategori gaya atau tema untuk wayang gambar berdasarkan persamaan sama ada dalam elemen naratif, pendekatan estetik, atau tindak balas emosi terhadap filem tersebut.[2]

Banyak meminjam daripada teori kritikan genre sastera, genre filem biasanya digariskan oleh "kelaziman, ikonografi, latar, naratif, watak dan pelakon".[3] Seseorang juga boleh mengklasifikasikan filem berdasarkan nada, tema/topik, suasana, format, khalayak sasaran, atau bajet.[4] Ciri-ciri ini paling ketara dalam filem genre, iaitu "filem cetera komersial [yang], melalui pengulangan dan variasi, menceritakan kisah yang biasa didengari dengan watak dan situasi yang lazim" dalam sesuatu genre.[5]

Genre sesebuah filem akan mempengaruhi penggunaan gaya dan teknik pembikinan filem, seperti penggunaan imbas kembali dan pencahayaan malap dalam filem noir; pembingkaian ketat dalam filem seram; atau fon yang kelihatan seperti kayu balak yang ditebang kasar untuk tajuk filem Barat.[6] Selain itu, genre mempunyai kelaziman skor filem yang berkaitan, seperti orkestra alat tali yang merdu untuk melodrama romantik atau muzik elektronik untuk filem cereka sains.[6] Genre juga mempengaruhi cara filem disiarkan di televisyen, diiklankan, dan disusun di kedai sewa video.[5]

Alan Williams membezakan tiga kategori genre utama: naratif, avant-garde, dan dokumentari.[7]

Dengan percambahan genre tertentu, subgenre filem juga boleh muncul: drama perundangan, misalnya, merupakan subgenre drama yang merangkumi filem yang memfokuskan kepada bilik mahkamah dan perbicaraan. Subgenre selalunya merupakan campuran dua genre yang berasingan; genre juga boleh bergabung dengan genre yang nampak seperti tidak berkaitan untuk membentuk genre hibrid, di mana gabungan yang popular termasuk komedi romantik dan filem komedi aksi. Contoh yang lebih luas termasuk dokucereka dan dokudrama, yang menggabungkan kategori asas cereka dan bukan cereka (dokumentari).[8]

Genre tidak bersifat tetap; ia berubah dan berkembang dari semasa ke semasa, dan beberapa genre mungkin sebahagian besarnya hilang (contohnya, melodrama).[4] Bukan sahaja genre merujuk kepada jenis filem atau kategorinya, peranan utama juga dimainkan oleh jangkaan khalayak terhadap sesebuah filem, serta wacana institusi yang mencipta struktur generik.[4]

Gambaran keseluruhan

[sunting | sunting sumber]

Ciri-ciri

[sunting | sunting sumber]

Ciri-ciri genre tertentu paling ketara dalam filem genre, iaitu "filem cetera komersial [yang], melalui pengulangan dan variasi, menceritakan kisah yang biasa didengari dengan watak dan situasi yang lazim" dalam sesuatu genre.[5]

Banyak meminjam daripada teori kritikan genre sastera, genre filem biasanya digariskan oleh kelaziman, ikonografi, naratif, format, watak, dan pelakon, di mana kesemuanya boleh berbeza mengikut genre.[3] Dari segi watak standard atau watak "stok" (tipikal), mereka dalam filem noir, misalnya, termasuk femme fatale[9] dan detektif "hardboiled" (kental); manakala yang berada dalam filem Barat, watak tipikal termasuklah cikgu sekolah wanita dan penembak. Mengenai pelakon pula, sesetengah daripada mereka mungkin memperoleh reputasi yang dikaitkan dengan satu genre sahaja, seperti John Wayne (filem Barat) atau Fred Astaire (filem muzikal).[10] Sesetengah genre telah dicirikan atau diketahui menggunakan format tertentu, yang merujuk kepada cara filem digambarkan (cth., 35 mm, 16 mm atau 8 mm) atau cara persembahan (cth., skrin lebar anamorfik).[4]

Genre juga boleh diklasifikasikan mengikut ciri yang lebih wujud padanya (biasanya tersirat dalam namanya), seperti latar, tema/topik, suasana, khalayak sasaran, atau bajet/jenis penerbitan.[4]

Penulis lakon layar secara khususnya sering menyusun cerita mereka mengikut genre, menumpukan perhatian mereka kepada tiga aspek tertentu: suasana, watak, dan cerita.[11] Suasana filem merangkumi kostum, prop, lokasi, dan pengalaman mendalam yang dicipta untuk penonton.[12] Aspek watak merangkumi arketip, watak tipikal, serta matlamat dan motivasi watak utama.[13] Beberapa pertimbangan cerita untuk penulis lakon layar, memandangkan ia berkaitan dengan genre, merangkumi tema, adegan pancang khemah, dan cara rentak perspektif watak beralih dari satu adegan ke adegan yang lain.[14]

Contoh genre dan subgenre

[sunting | sunting sumber]
Genre dan subgenre
Genre Penerangan Subgenre Contoh
Filem aksi Dikaitkan dengan jenis tontonan tertentu (cth., letupan, kejar-mengejar, pertempuran)[15]
Filem pengembaraan Menyiratkan naratif yang ditakrifkan oleh sebuah perjalanan (selalunya termasuk beberapa bentuk pengejaran) dan biasanya terletak dalam latar fantasi atau eksotik. Biasanya, walaupun tidak semestinya, kisah sedemikian merangkumi naratif pencarian. Penekanan utama terhadap keganasan dan pergaduhan dalam filem aksi ialah perbezaan tipikal antara kedua-dua genre ini.[15][16]
Filem animasi Medium filem di mana imej filem terutamanya dicipta oleh komputer atau lukisan tangan dan watak-wataknya disuarakan oleh pelakon.[17] Animasi boleh menggabungkan mana-mana genre dan subgenre.
Filem komedi Ditakrifkan oleh peristiwa yang terutamanya bertujuan untuk membuat penonton ketawa.
Filem drama Memfokuskan kepada emosi dan ditakrifkan oleh konflik, selalunya melihat kepada realiti berbanding sensasionalisme.
Filem fantasi Filem yang ditakrifkan oleh situasi yang melangkaui hukum alam semula jadi dan/atau oleh latar di dalam alam semesta cereka, dengan naratif yang selalunya diilhamkan oleh atau melibatkan mitos manusia.[17]
Filem sejarah Filem yang sama ada menyediakan perwakilan penceritaan sejarah yang lebih kurang tepat atau memaparkan naratif cereka yang diletakkan dalam gambaran latar sejarah yang tepat.
Filem seram Filem yang bertujuan untuk menimbulkan rasa takut atau jijik dalam kalangan penonton untuk tujuan hiburan.[18]
Melodrama Sebuah genre, ragam, gaya atau kepekaan yang dicirikan oleh penekanan terhadap emosi yang kuat dan berlebihan serta situasi dramatik yang memuncak.[19] Sama seperti filem noir, pengiktirafannya sebagai genre dengan ciri formal dan tematik tertentu datang secara retrospektif, dan didorong oleh penilaian semula kritikal pada 1970-an terhadap filem arahan Douglas Sirk, yang mula dianggap sebagai tokoh utama melodrama.[19][20] Bentuk kanonikal melodrama, yang dikaitkan dengan filem Hollywood 1950-an arahan Sirk, Vincente Minnelli, Nicholas Ray, George Cukor, Billy Wilder dan Joseph Losey, antara lainnya, dikenali sebagai "melodrama keluarga" dan berpusat pada konflik keluarga kelas pertengahan, selalunya merentas generasi, dalam konteks mobiliti sosial dan trauma emosi.[19][20] Tidak seperti drama, melodrama berfungsi sebagai kod yang menentang realisme, melebih-lebihkan kelaziman perwakilan dan mise-en-scène untuk menggambarkan keadaan emosi watak-wataknya.[21]
Filem muzikal Sebuah genre di mana lagu yang dipersembahkan oleh watak dijalin ke dalam naratif, kadangkala disertai dengan tarian. Lagu-lagu tersebut biasanya menggerakkan plot atau mengembangkan watak filem atau mungkin sekadar berfungsi sebagai jeda dalam jalan cerita, selalunya sebagai "nombor produksi" yang teliti.
Filem noir Sebuah genre drama jenayah bergaya yang amat popular pada tahun 1940-an dan 50-an. Filem-filem ini sering menggambarkan masyarakat dan budaya Amerika pada masa itu.
Filem lucah Filem lucah biasanya dikategorikan sebagai sama ada ringan (softcore) atau tegar (hardcore). Secara amnya, pornografi ringan ialah pornografi yang tidak memaparkan aktiviti seksual secara eksplisit, penembusan seksual atau fetisyisme yang melampau.[22] Ia biasanya mengandungi kebogelan atau kebogelan separa dalam situasi yang mencadangkan secara seksual. Pornografi tegar ialah pornografi yang memaparkan penembusan atau tindakan fetisy yang melampau, atau kedua-duanya sekali. Ia mengandungi aktiviti seksual grafik dan penembusan yang kelihatan.[23]
Filem percintaan Dicirikan oleh penekanan terhadap keghairahan, emosi, dan penglibatan romantik yang penuh kasih sayang antara watak utama, dengan cinta romantik atau pencariannya lazimnya menjadi tumpuan utama.[24]
Filem cereka sains Filem yang ditakrifkan oleh gabungan spekulasi imaginatif dan premis saintifik atau teknologi, dengan menggunakan perubahan serta trajektori teknologi dan sains.[17]
Filem triler Filem yang membangkitkan keterujaan dan suspen (ketegangan) kepada penonton. Elemen suspen yang terdapat dalam plot kebanyakan filem ini dieksploitasi terutamanya oleh pembuat filem dalam genre ini. Ketegangan dicipta dengan menangguhkan apa yang penonton lihat sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan dibina melalui situasi yang mengancam atau di mana jalan keluar kelihatan mustahil.[25]
Filem Barat Genre di mana filem berlatarkan Barat Amerika pada abad ke-19.[17]

Sejak zaman awal sinema pada abad ke-19, istilah "genre" (yang telah pun digunakan dalam bahasa Inggeris merujuk kepada karya seni atau pengeluaran sastera sejak sekurang-kurangnya 1770[26]) digunakan[oleh siapa?] untuk menyusun filem mengikut jenis.[27] Menjelang 1950-an, André Bazin membincangkan konsep "genre" dengan menggunakan filem Barat sebagai contoh; pada era ini, terdapat perdebatan tentang teori auteur berbanding genre.[4] Pada akhir 1960-an konsep genre menjadi bahagian penting dalam teori filem.[4]

Poster tayangan teater bagi filem Amerika 1931 Little Caesar.

Genre filem meminjam daripada genre dalam bentuk lain; novel Barat wujud sebelum filem Barat, dan teater muzikal mendahului muzikal filem.[28] Tanggapan terhadap genre sesebuah filem boleh berubah dari semasa ke semasa; contohnya, pada abad ke-21 The Great Train Robbery (1903) dikelaskan sebagai filem Barat awal yang utama, namun semasa dikeluarkan, pemasarannya mempromosikannya "kerana kaitannya dengan genre yang popular pada masa itu iaitu filem kejar-mengejar, filem kereta api dan filem jenayah".[29] Alasan utama mengapa sistem perindustrian Hollywood awal dari tahun 1920-an hingga 1950-an menggemari filem genre adalah kerana dalam "mod pengeluaran perindustrian Hollywood, filem genre merupakan produk yang boleh dipercayai" untuk dipasarkan kepada khalayak – ia mudah diterbitkan dan khalayak juga mudah untuk memahami filem genre.[30] Pada 1920-an hingga 1950-an, filem genre mempunyai kelaziman dan ikonografi yang jelas, seperti kot tebal yang dipakai oleh gengster dalam filem seperti Little Caesar (1931).[31] Kelaziman dalam filem genre membolehkan pembuat filem menghasilkannya mengikut cara perindustrian dan barisan pemasangan (assembly-line), satu pendekatan yang boleh dilihat dalam filem perisik James Bond, yang kesemuanya menggunakan formula "banyak aksi, gajet mewah, wanita cantik dan penjahat yang berwarna-warni", walaupun pelakon, pengarah dan penulis lakon layarnya bertukar ganti.[31]

Genre tulen dan hibrid

[sunting | sunting sumber]

Sesebuah filem jarang sekali benar-benar tulen datang daripada satu genre, dan ia sejajar dengan asal usul sinema yang pelbagai dan terbitan, memandangkan ia adalah campuran "vaudeville, dewan muzik, teater, fotografi" dan novel.[4] Sejarawan filem Amerika Janet Staiger menyatakan bahawa genre sesebuah filem boleh ditakrifkan dalam empat cara. "Kaedah idealis" menilai filem berdasarkan piawaian yang telah ditetapkan. "Kaedah empirikal" mengenal pasti genre filem dengan membandingkannya dengan senarai filem yang telah pun dianggap termasuk dalam sesuatu genre. Kaedah a priori menggunakan unsur generik lazim yang dikenal pasti lebih awal. Kaedah "kelaziman sosial" untuk mengenal pasti genre filem adalah berdasarkan permuafakatan budaya yang diterima dalam masyarakat.[32] Martin Loop berhujah bahawa filem-filem Hollywood bukan genre yang tulen kerana kebanyakan filem Hollywood menggabungkan plot berorientasikan cinta bagi genre percintaan dengan genre lain.[32] Jim Colins mendakwa bahawa sejak 1980-an, filem Hollywood telah dipengaruhi oleh trend ke arah "penghibridan ironis", di mana pengarah menggabungkan unsur-unsur daripada genre yang berbeza, seperti gabungan Barat/cereka sains dalam Back to the Future Part III.[32]

Banyak filem merentasi pelbagai genre. Susan Hayward menyatakan bahawa filem perisik sering melepasi sempadan genre ke dalam filem triler.[4] Beberapa filem genre mengambil unsur genre daripada sebuah genre dan meletakkannya ke dalam kelaziman genre yang kedua, seperti The Band Wagon (1953), yang memasukkan unsur filem noir dan filem detektif ke dalam balet "The Girl Hunt".[31] Pada era Hollywood Baharu 1970-an, terlalu banyak parodi genre dilakukan sehinggakan sukar untuk menetapkan genre bagi beberapa filem dari era ini, seperti komedi-Barat arahan Mel Brooks, Blazing Saddles (1974) atau parodi mata-mata persendirian The Long Goodbye (1973).[4] Filem lain dari era ini terlalu banyak membengkokkan genre sehingga mencabar untuk meletakkannya dalam satu kategori genre, seperti filem arahan Roman Polanski, Chinatown (1974) dan filem arahan William Friedkin, The French Connection (1971).[4]

Pakar teori filem Robert Stam mempersoalkan sama ada genre benar-benar wujud, atau sama ada ia hanya direka oleh pengkritik. Stam telah mempersoalkan sama ada "genre benar-benar berada 'di luar sana' di dunia nyata atau ia sekadar binaan pengkaji?". Selain itu, beliau juga telah bertanya sama ada terdapat "... taksonomi genre yang terhad atau pada dasarnya ia tidak terhingga?" dan sama ada genre ialah "... intipati abadi yang cepat berlalu, atau entiti yang terikat dengan masa? Adakah genre terikat dengan budaya atau merentas budaya?". Stam juga bertanya sama ada analisis genre harus bertujuan untuk menjadi deskriptif atau preskriptif. Walaupun sesetengah genre adalah berdasarkan kandungan cerita (filem perang), yang lain dipinjam daripada sastera (komedi, melodrama) atau daripada media lain (muzikal). Sesetengah daripadanya berasaskan pelakon (filem Fred Astaire dan Ginger Rogers) atau berasaskan bajet (blokbuster, filem bajet rendah), manakala yang lain berdasarkan status seni (filem seni), identiti kaum (filem kaum), lokasi (Barat), atau orientasi seksual ("Sinema Queer Baharu").[33]

Jangkaan khalayak

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan genre mempunyai khalayak tetap terbina dan penerbitan berkaitan yang menyokongnya, seperti majalah dan tapak web. Contohnya, filem seram mempunyai pangkalan peminat yang mantap yang membaca majalah seram seperti Fangoria. Filem yang sukar dikategorikan ke dalam sesuatu genre biasanya kurang mendapat sambutan. Oleh itu, genre filem juga berguna dalam bidang pemasaran, kritikan filem dan analisis penggunaan. Perunding cerita Hollywood John Truby menyatakan bahawa "...anda perlu tahu cara melangkaui bentuk [genre] supaya anda boleh memberikan khalayak rasa keaslian dan kejutan".[34]

Sesetengah penulis lakon layar menggunakan genre sebagai cara untuk menentukan jenis plot atau kandungan yang akan diletakkan dalam lakon layar. Mereka mungkin mengkaji filem genre tertentu untuk mencari contoh. Ini adalah satu cara membolehkan sesetengah penulis lakon layar meniru unsur filem yang berjaya dan mengolahnya sebagai lakon layar yang baharu. Namun besar kemungkinan lakon layar sebegitu kekurangan dari segi keaslian. Sepertimana Truby berkata, "Penulis tahu cukup banyak untuk menulis skrip genre tetapi mereka tidak memutarbalikkan rentak cerita genre tersebut dengan cara yang memberikannya wajah baharu".[35]

Teknologi sinema sering dikaitkan dengan genre. Skrin lebar gergasi membantu filem Barat mencipta latar dataran terbuka dan padang pasir yang luas. Filem cereka sains dan fantasi dikaitkan dengan kesan khas, terutamanya imej janaan komputer (cth., filem Harry Potter).[4]

Pada tahun 2017, penulis lakon layar Eric R. Williams menerbitkan sistem untuk penulis lakon layar mengkonseptualisasikan genre filem naratif berdasarkan jangkaan khalayak.[36] Sistem ini adalah berdasarkan struktur yang digunakan oleh ahli biologi untuk menganalisis hidupan. Williams menulis buku iringan yang memperincikan taksonominya, yang mendakwa mampu mengenal pasti semua filem naratif panjang dengan tujuh pengkategorian: jenis filem, super genre, genre makro, genre mikro, suara, dan laluan.[37]

Pengkategorian

[sunting | sunting sumber]
Filem perang atau filem antiperang: All Quiet on the Western Front arahan Lewis Milestone, 1930

Oleh sebab genre lebih mudah dikenali daripada ditakrifkan, ahli akademik bersetuju bahawa ia tidak boleh dikenal pasti secara kaku.[38] Tambahan pula, pelbagai negara dan budaya mendefinisikan genre dengan cara yang berbeza. Contoh yang tipikal ialah filem perang. Di Amerika Syarikat, filem sebegini kebanyakannya berkaitan dengan filem yang melibatkan keterlibatan A.S. yang besar seperti Perang Dunia dan Vietnam, manakala di negara lain, filem yang berkaitan dengan perang pada zaman sejarah yang lain dianggap sebagai filem perang.

Genre filem mungkin kelihatan sedia boleh dikategorikan daripada latar filem tersebut. Walau bagaimanapun, filem yang mempunyai latar yang sama boleh menjadi sangat berbeza, disebabkan penggunaan tema atau suasana yang berlainan. Contohnya, sementara kedua-dua The Battle of Midway dan All Quiet on the Western Front berlatarkan konteks zaman perang dan mungkin diklasifikasikan sebagai tergolong dalam genre filem perang, filem yang pertama meneliti tema kehormatan, pengorbanan, dan keberanian, manakala yang kedua ialah filem antiperang yang menekankan kesakitan dan kengerian perang. Walaupun terdapat hujah yang mengatakan bahawa filem filem noir boleh dianggap berlatarkan persekitaran bandar, di hotel murah dan bar dunia jenayah, kebanyakan karya noir klasik berlaku terutamanya di bandar kecil, pinggir bandar, kawasan luar bandar, atau di jalan terbuka.[39]

Penyunting filmsite.org berhujah bahawa animasi, filem lucah, filem dokumentari, filem bisu dan sebagainya adalah kategori filem bukan berasaskan genre.[40]

Linda Williams berhujah bahawa seram, melodrama, dan pornografi semuanya termasuk dalam kategori "genre tubuh" memandangkan masing-masing direka untuk menimbulkan reaksi fizikal di pihak penonton. Seram direka untuk mencetuskan rasa seram sejuk, ngeri sehingga mengepal tangan dan mata terbeliak; melodrama direka untuk membuatkan penonton menangis selepas melihat kemalangan yang menimpa watak di skrin; dan pornografi direka untuk menimbulkan keghairahan seksual.[41] Pendekatan ini boleh diperluaskan: filem komedi membuat orang ketawa, filem meruntun jiwa membuat orang menangis, filem rasa baik (feel-good) menaikkan semangat dan filem inspirasi memberikan harapan kepada penonton.

Eric R. Williams (tiada kaitan dengan Linda Williams) berpendapat bahawa semua filem cereka naratif panjang boleh dikategorikan sebagai salah satu daripada sebelas "super genre" (aksi, jenayah, fantasi, seram, percintaan, cereka sains, cebisan kehidupan, sukan, triler, perang dan Barat).[11] Williams menegaskan bahawa label seperti komedi atau drama adalah lebih luas daripada kategori super genre, dan oleh itu tergolong dalam kategori yang dipanggilnya sebagai "jenis filem".[36] Begitu juga, Williams menerangkan bahawa label seperti animasi dan muzikal lebih khusus kepada teknik bercerita dan justeru termasuk dalam kategorinya iaitu "suara".[42] Contohnya, menurut Williams, sebuah filem seperti Blazing Saddles boleh dikategorikan sebagai sebuah filem komedi (jenis), Barat (super genre), muzikal (suara), manakala Anomalisa ialah sebuah filem drama (jenis), Cebisan Kehidupan (super genre), animasi (suara). Williams telah mencipta pengkategorian tujuh peringkat untuk filem naratif panjang yang dipanggil Taksonomi Penulis Lakon Layar.[37]

Filem genre ialah filem yang mengikut sebahagian atau semua kelaziman genre tertentu, sama ada disengajakan atau tidak semasa filem itu diterbitkan.[43]

Filem dalam konteks sejarah

[sunting | sunting sumber]

Untuk memahami penciptaan dan konteks setiap genre filem, kita harus melihat kepada popularitinya dalam konteks tempatnya di dalam sejarah. Sebagai contoh, filem Blaxploitation pada tahun 1970-an telah dipanggil sebagai cubaan untuk "melemahkan kebangkitan pergerakan kesedaran Hitam Afro-Amerika" pada era itu.[4] Dalam analisis William Park mengenai filem noir, beliau menyatakan bahawa kita harus melihat dan menafsirkan filem untuk mesejnya dengan mengambil kira konteks sejarah dalam fikiran kita; beliau menyatakan bahawa dengan cara inilah sesebuah filem benar-benar boleh difahami oleh penontonnya.[44] Genre filem seperti filem noir dan Barat mencerminkan nilai zaman tersebut. Walaupun filem noir menggabungkan strategi penggambaran ekspresionis Jerman dengan cita-cita pasca Perang Dunia Kedua; filem Barat pula memberi tumpuan kepada cita-cita awal abad ke-20. Filem-filem seperti filem muzikal dicipta sebagai bentuk hiburan semasa zaman Kemelesetan Besar lalu membenarkan penontonnya lari seketika daripada masa-masa yang sukar. Jadi semasa menonton dan menganalisis genre filem, kita mesti sentiasa mengingati hasrat asalnya tanpa mengira nilai hiburannya.[perlu rujukan]

Dari semasa ke semasa, sebuah genre boleh berubah melalui beberapa peringkat: era genre klasik; parodi klasik; tempoh di mana pembuat filem menafikan bahawa filem mereka sebahagian daripada genre tertentu; dan akhirnya kritikan terhadap seluruh genre tersebut.[4] Corak ini boleh dilihat dengan filem Barat. Dalam filem Barat klasik yang paling awal, terdapat wira jelas yang melindungi masyarakat daripada penjahat melanggar undang-undang yang tinggal di belantara dan datang ke kawasan tamadun untuk melakukan jenayah.[4] Walau bagaimanapun, dalam filem Barat revisionis pada tahun 1970-an, protagonis bertukar menjadi seorang antiwira yang tinggal di kawasan belantara untuk melarikan diri daripada tamadun yang digambarkan sebagai korup, dan kini penjahat pula disepadukan ke dalam masyarakat. Contoh lain tentang genre yang berubah dari semasa ke semasa ialah populariti filem neo-noir pada awal tahun 2000-an (Mulholland Drive (2001), The Man Who Wasn't There (2001) dan Far from Heaven (2002); adakah ini parodi filem noir, pengulangan kiasan genre noir, atau penelitian semula ke atas genre noir?[4]

Pemerhatian ini juga penting untuk diingati apabila menonton filem pada masa hadapan. Sambil menonton sesebuah filem, penonton menyedari akan wujudnya pengaruh masyarakat berserta filem itu sendiri. Untuk memahami hasrat asalnya, kita mesti mengenal pasti khalayak sasarannya dan apakah naratif tentang masyarakat masa kini kita, serta bagaimana ia mengulas tentang masa lalu yang berkaitan dengan masyarakat hari ini. Hal ini membolehkan penonton untuk memahami evolusi genre filem apabila masa dan sejarah mengubah pandangan dan cita-cita industri hiburan.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ "America's 10 Greatest Films in 10 Classic Genres". American Film Institute. Dicapai pada 2010-06-06. AFI defines 'western' as a genre of films set in the American West that embodies the spirit, the struggle and the demise of the new frontier.
  2. ↑ "film genres". Oxford Reference (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-11-01.
  3. 1 2 Grant, Barry Keith (2007). Film Genre: From Iconography to Ideology. Short cuts. Jil. 33 (ed. reprint). London: Wallflower Press. m/s. 2. ISBN 9781904764793. Dicapai pada 2018-10-13. [...] the various elements of genre films, including conventions, iconography, settings, narratives, characters and actors.
  4. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 Hayward, Susan. "Genre/Sub-genre" in Cinema Studies: The Key Concepts (Third Edition). Routledge, 2006. p. 185–192
  5. 1 2 3 Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 1
  6. 1 2 Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 11
  7. ↑ Alan Williams, "Is a Radical Genre Criticism Possible?" Quarterly Review of Film Studies 9, no. 2 (Spring 1984): 121–2
  8. ↑ Judith Butler and genre theory.[petikan lengkap diperlukan]
  9. ↑ Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 17
  10. ↑ Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 18
  11. 1 2 Williams, Eric R. "Episode 3: Movie Genre: It's Not What You Think". How to View and Appreciate Great Movies (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada Jun 7, 2020. Dicapai pada 2020-06-07.
  12. ↑ Williams, Eric R. "Episode 4: Genre Layers and Audience Expectations". How to View and Appreciate Great Movies (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada Jun 7, 2020. Dicapai pada 2020-06-07.
  13. ↑ Williams, Eric R. "How to View and Appreciate Great Movies (episode 18: Knowing Characters from the Outside In)". English (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada Jun 7, 2020. Dicapai pada 2020-06-07.
  14. ↑ Williams, Eric R. "Episode 5: Story Shape and Tension". How to View and Appreciate Great Movies (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada Jun 7, 2020. Dicapai pada 2020-06-07.
  15. 1 2 "Action and Adventure Films | Encyclopedia.com". www.encyclopedia.com. Dicapai pada 2021-02-25.
  16. ↑ "Adventure Films". www.filmsite.org. Dicapai pada 2021-02-25.
  17. 1 2 3 4 "AFI's 10 TOP 10". American Film Institute (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-25.
  18. ↑ "What is a horror film? | Screenwriter". www.irishtimes.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-08-17. Dicapai pada 2021-11-06.
  19. 1 2 3 Mercer, John; Shingler, Martin (2013) [2004]. Melodrama: Genre, Style, Sensibility (eBook). Short Cuts. London; New York: Wallflower, Columbia University Press. ISBN 978-0-231-50306-8.
  20. 1 2 Gledhill, Christine, penyunting (1987). Home is Where the Heart Is: Studies in Melodrama and the Woman's Film. London: British Film Institute. m/s. 7–18. ISBN 0-85170-200-7.
  21. ↑ Byars, Jackie (1991). All that Hollywood Allows: Re-reading Gender in 1950s Melodrama. London: Routledge. m/s. 9. ISBN 0-231-11328-5.
  22. ↑ Amis, Martin (17 March 2001). "A rough trade". Guardian.co.uk. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 May 2020. Dicapai pada 29 February 2012.
  23. ↑ "P20th Century Nudes in Art". The Art History Archive. Diarkibkan daripada yang asal pada Feb 15, 2012. Dicapai pada 29 February 2012.
  24. ↑ "Romance films". Filmsite.org. Dicapai pada January 21, 2023.
  25. ↑ Konigsberg, Ira (1997). The complete film dictionary (dalam bahasa Inggeris) (ed. 2nd). New York: Penguin Books. ISBN 0-670-10009-9. OCLC 36112196.
  26. ↑ Templat:Oed
  27. ↑ Hayward, Susan (2006). "Genre/Sub-genre". Cinema Studies: The Key Concepts. Routledge Key Guides (ed. 3). London: Routledge. m/s. 185. ISBN 9781134208920. Dicapai pada 29 May 2020. As a term genre goes back to earliest cinema and was seen as a way of organizing films according to type. But it was not until the late 1960s that genre was introduced as a key concept into Anglo-Saxon film theory [...]. {{cite book}}: Semak nilai tarikh dalam: |year= / |publication-date= tidak padan (bantuan)
  28. ↑ Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 4
  29. ↑ Grant, Barry Keith (2007). "approaching film genre". Film Genre: From Iconography to Ideology. Short cuts. Jil. 33. London: Wallflower Press. m/s. 6. ISBN 9781904764793. Dicapai pada 29 May 2020. [...] Neale notes that most histories of the western film begin with The Great Train Robbery (1903), but when released it was promoted not as a western but marketed for its relation to the then-popular genres of the chase film, the railroad film and the crime film; at that time, there was no recognised genre known as the western into which to categorise it.{{cite book}}: CS1 maint: date and year (pautan)
  30. ↑ Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 7–8
  31. 1 2 3 Grant, Barry Keith. Film Genre: From Iconography to Ideology. Wallflower Press, 2007. p. 8.
  32. 1 2 3 Grant, Barry Keith (2007). Film Genre: From Iconography to Ideology (dalam bahasa Inggeris). Wallflower Press. ISBN 9781904764793.
  33. ↑ Stam, Robert (2000-02-21). Film Theory: An Anthology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. ISBN 9780631206545.
  34. ↑ Truby, John. "What's My Genre?". Writers Store. Dicapai pada 2007-07-31.
  35. ↑ Ward, Lewis. "Interview: John Truby on Screenwriting and Breaking In". Script Magazine. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-07-02. Dicapai pada 2007-07-31.
  36. 1 2 Williams, Eric R. (2017). Screen Adaptation: Beyond the Basics. New York: Focal Press. ISBN 978-1-315-66941-0. OCLC 986993829.
  37. 1 2 Williams, Eric R. (2017). The Screenwriters Taxonomy : a roadmap to collaborative storytelling. New York, NY: Routledge Studies in Media Theory and Practice. ISBN 978-1-315-10864-3. OCLC 993983488.
  38. ↑ Thompson, Kristin; Bordwell, David (2012-07-06). Film Art: An Introduction (dalam bahasa Inggeris). McGraw-Hill Education. ISBN 9780073535104.
  39. ↑ Lamster, Mark (2000). Architecture and Film. Princeton Architectural Press. m/s. 217. ISBN 9781568982076.
  40. ↑ "Other Major Film Categories". filmsite.org. Dicapai pada 2015-03-14.
  41. ↑ Williams, Linda (Summer 1991). "Film Bodies: Gender, Genre, and Excess". Film Quarterly. 44 (4): 2–13. doi:10.2307/1212758. JSTOR 1212758.[pautan mati kekal]
  42. ↑ Williams, Eric R. How to View and Appreciate Great Movies (episode 24: Filmmaker's Voice and Audience Choice). The Great Courses (Video) (dalam bahasa Inggeris). The Teaching Company. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-25. Dicapai pada 2020-06-07.
  43. ↑ McNair, Brian (2010). Journalists in Film: Heroes and Villains (dalam bahasa Inggeris). Edinburgh University Press. ISBN 9780748634477.
  44. ↑ Park W. What Is Film Noir? [e-book]. Lanham, Md: Bucknell University Press; 2011. Available from: eBook Collection (EBSCOhost), Ipswich, MA. Accessed November 19, 2017.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Templat:Filmsbygenre