Pergi ke kandungan

Pixel 10 Pro Fold

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
  • Pixel 10 Pro Fold
Rajah bagi telefon pintar Pixel 10 Pro Fold. Imej ini dilukis semula daripada imej raster Google Store (AS) dengan ukuran skrin dan bingkai (bezel) yang diskalakan dengan betul.
Rajah Pixel 10 Pro Fold (Moonstone), dibuka untuk menunjukkan skrin dalaman
PembangunGoogle
RentetanPixel
Rangkaian serasi
Julung diedarkan9 Oktober 2025; 12 bulan yang lalu (2025-10-09)
Pendahulu
PenggantiPixel 11 Pro Fold
BerkaitanPixel 10
Pixel 10 Pro & 10 Pro XL
Pixel 10a
JenisTelefon pintar
Penjadi rupaBoleh lipat
Ukuran
  • Dilipat:
    • T: 6.1 in (155.2 mm)
    • L: 3.0 in (76.3 mm)
    • D: 0.4 in (10.8 mm)
  • Dibuka:
    • T: 6.1 in (155.2 mm)
    • L: 5.9 in (150.4 mm)
    • D: 0.2 in (5.2 mm)
Jisim9.1 oz (258 g)
Sistem pengendalianAndroid 16, boleh dinaik taraf kepada Android 17
Sistem atas cipGoogle Tensor G5
CPU1x 3.78 GHz Cortex-X4 + 5x 3.05 GHz Cortex-A725 + 2x 2.25 GHz Cortex-A520
GPU2x 1.1 GHz Imagination DXT-48-1536
ModemSamsung Exynos 5400
Ingatan16 GB LPDDR5X
Storan
  • 256 GB UFS 4.0
  • 512 GB & 1 TB Zoned UFS 4.0
SIMNano-SIM dan eSIM
Bateri5015 mAh
Pengecasan
  • Pengecasan pantas 30 W
  • Pengecasan tanpa wayar Qi2 15 W
Paparan
  • Dilipat:
  • 6.4 in (162 mm)? FHD+ 1080p OLED pada 408 ppi?
  • 2364 × 1080 px (20:9)
  • Kadar segar semula 60-120 Hz
  • Dibuka:
  • 8.0 in (204 mm) FHD+ LTPO OLED pada 373 ppi
  • 2152 × 2076 px (1.04:1)
  • Kadar segar semula 1-120 Hz
  • Kedua-dua: HDR
Bunyi
Kamera belakang
  • 48 MP, f/1.7, 82˚ sudut pandangan (lebar), 1/2"
  • 10.5 MP, f/2.2, 127˚ sudut pandangan (ultra lebar), 1/3.4"
  • 10.8 MP, f/3.1, 23° sudut pandangan (telefoto), 5x zum optik, 1/3.4"
  • Video 4K pada 24, 30, 60 FPS
  • Video 1080p pada 24, 30, 60 FPS
Kamera depan
  • Hadapan & Dalaman:
  • 10 MP, f/2.2, 87˚ sudut pandangan (ultra lebar)
  • Video 4K pada 24, 30, 60 FPS
  • Video 1080p pada 24, 30, 60 FPS
Ketersambungan
Masukan data
Ketahanan airIP68
Lain
Tapak sesawang
Rujukan[1][2]

Pixel 10 Pro Fold ialah sebuah telefon pintar boleh lipat berasaskan Android yang direka, dibangun dan dipasarkan oleh Google sebagai sebahagian daripada barisan produk Google Pixel. Peranti ini menjadi pengganti kepada Pixel 9 Pro Fold, dengan mengekalkan reka bentuk yang hampir serupa. Ia dilengkapi dengan sistem atas cip Google Tensor generasi kelima, keserasian Qi2, serta ciri kecerdasan buatan yang dikuasakan oleh Google Gemini. Selain itu, ia hadir dengan Android 16 yang siap dipasang berserta tema antara muka Material 3 Expressive yang baharu ditambah.

Pixel 10 Pro Fold telah diumumkan secara rasmi pada 20 Ogos 2025, bersama-sama dengan Pixel 10, Pixel 10 Pro, dan Pixel 10 Pro XL di acara tahunan Made by Google yang berlangsung di Brooklyn, New York. Acara pelancaran tersebut telah dihoskan oleh pelawak lewat malam Jimmy Fallon, serta menampilkan kemunculan bintang NBA Stephen Curry, pemandu Formula Satu Lando Norris, dan kumpulan muzik Jonas Brothers. Kumpulan tersebut turut menayangkan klip video muzik pertama mereka yang bertajuk "I Can't Lose", yang mana penggambaran video tersebut turut dirakam menggunakan Pixel 10 Pro.

Pra-tempahan bermula pada hari yang sama, walaupun peranti ini hanya dilancarkan secara rasmi di Amerika Syarikat pada 9 Oktober. Telefon pintar boleh lipat ini turut disertai oleh Pixel Watch 4 dan Pixel Buds 2a sebagai aksesori pelengkap bagi barisan produk tersebut, yang dikeluarkan bersama-sama peranti itu pada hari yang sama. Acara Made By Google '25 ini menandakan kali kedua Google melancarkan produk mercu Pixel mereka pada bulan Ogos, iaitu sebelum Acara September Apple untuk pelancaran iPhone tahunan mereka.

Spesifikasi

[sunting | sunting sumber]

Reka bentuk

[sunting | sunting sumber]

Berbanding dengan model terdahulu, reka bentuk Pixel 10 Pro Fold adalah hampir serupa. Seperti model lain dalam siri Pixel 10, ia mempunyai sisi yang rata dan bucu bulat, tetapi direka jauh lebih nipis untuk membolehkan telefon ini dilipat dua dengan ketebalan yang hampir sama seperti model jenis syis biasa. Sebagai sebuah telefon pintar boleh lipat, ia menempatkan paparan dalaman yang fleksibel dengan saiz hampir dua kali ganda saiz paparan luaran, yang mana ia boleh dilipat dua untuk menjadikannya lebih mudah dimasukkan ke dalam poket. Bingkai (bezel) pada paparan penutup (skrin luar) adalah sedikit lebih nipis, sekali gus meningkatkan saiz skrin daripada 6.3 inci kepada 6.4 inci. Peranti ini juga sedikit lebih tebal berbanding Pixel 9 Pro Fold disebabkan oleh penggunaan kapasiti bateri yang lebih besar.

Pixel 9 Pro Fold dan model Pixel Fold pertama sebelum ini hanya menggunakan pilihan warna "Obsidian" dan "Porcelain", tetapi Pixel 10 Pro Fold kini didatangkan dengan 2 warna berbeza yang sepadan dengan Pixel 10 Pro & Pro XL, iaitu Moonstone dan Jade.

Pixel 10 Pro Fold
BelakangPaparan penutupPaparan lipat dalaman BelakangPaparan penutupPaparan lipat dalaman
Moonstone Jade

Perkakasan

[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua paparan OLED pada Pixel 10 Pro Fold mempunyai spesifikasi yang serupa dengan Pixel 9 Pro Fold. Paparan Fleksibel Super Actua dalaman bersaiz 8 inci dan Paparan Actua luaran bersaiz 6.4 inci mempunyai kecerahan puncak 3000 nit serta kadar segar semula 120Hz, walaupun hanya paparan dalaman yang menggunakan jenis skrin LTPO.

Konfigurasi kamera juga kekal tidak berubah daripada generasi sebelumnya, dengan mengekalkan tetapan kamera belakang yang terdiri daripada kamera Lebar 48MP, Ultra Lebar 10.5MP, dan Telefoto 5x 10.8MP, serta kamera swafoto 10MP yang sepadan pada paparan penutup dan paparan lipat dalaman.

Peranti ini merupakan telefon pintar boleh lipat pertama yang menyokong penarafan kalis air & habuk IP68, yang mana pencapaian ini berjaya direalisasikan melalui rekaan semula engsel telefon yang kini bebas daripada komponen gear.[3]

Menuruti jejak model lain dalam siri Pixel 10, Pixel 10 Pro Fold dilengkapi dengan cip sistem atas cip (SoC) rekaan tersendiri Tensor G5. Cip ini merupakan satu peningkatan yang ketara berbanding Tensor G4 dan pemproses Tensor terdahulu. Google telah beralih daripada menggunakan fabrikasi Samsung Exynos kepada TSMC sebagai pengilang bagi cip mereka. Cip ini dihasilkan menggunakan nod pemprosesan 3 nm N3E yang canggih, yang turut digunakan oleh kebanyakan cip telefon pintar lain seperti Apple A18 Pro dan Snapdragon 8 Elite. Berbanding Exynos, ia menawarkan kecekapan tenaga yang lebih baik, peningkatan prestasi, dan beroperasi pada suhu yang lebih rendah bagi mengatasi masalah haba terlampau yang sering membelenggu model Pixel terdahulu. Walaupun cip ini menggunakan konfigurasi lapan teras yang serupa dengan Tensor G4, prestasinya sedikit mengatasi model terdahulu dalam ujian tanda aras teras tunggal (single-core) dan pelbagai teras (multicore), serta jauh lebih menjimatkan penggunaan bateri. Ia masih mengekalkan modem Samsung Exynos 5400 yang sama seperti Tensor G4, bagi membolehkan Sambungan Satelit digunakan untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan di kawasan yang tiada liputan.

Meskipun peranti boleh lipat ini mempunyai ketebalan hampir separuh daripada ketebalan Pixel 10 & 10 Pro apabila dibuka, ia menyokong sepenuhnya teknologi baharu jenama Google iaitu "Pixelsnap". Ciri ini menyertakan tatasusunan magnet bulat di bahagian belakang telefon untuk menyelaraskan kedudukan kelongsong (case), dompet, cagak telefon, kaki dirian, kepingan pengecas tanpa wayar, serta aksesori lain menggunakan medan magnet.[4] Ciri ini berasaskan standard pengecasan tanpa wayar Qi2 dan menyokong kelajuan pengecasan tanpa wayar sehingga 15W, sama seperti beberapa model jenis syis biasa. Walaupun peranti ini bukanlah telefon pintar boleh lipat pertama yang menyokong spesifikasi Qi2—memandangkan Samsung Galaxy Z Fold 7 merupakan peranti terawal yang menyokong ciri Qi2—ia merupakan model boleh lipat pertama yang didatangkan dengan binaan magnet terus di dalam bahagian belakang telefon seumpama iPhone.

Siri Pixel 10 hadir dengan perisian Android 16 yang siap dipasang, berserta tema antara muka Material 3 Expressive yang baharu diumumkan turut tersedia semasa pelancarannya. Ciri ini berasaskan konsep rekaan Material You yang mula diperkenalkan menerusi siri Pixel 6 dan Android 12. Ia mengubah gaya fon & ikon, serta menjadikan teks, paparan masa, butang, dan ikon berkembang serta berubah saiz secara dinamik. Selain itu, ia menjadikan animasi kelihatan lebih lancar dan meningkatkan kekerapan maklum balas haptik (getaran) di seluruh antara muka, di samping merombak palang pemberitahuan dan panel Tetapan Pantas untuk membolehkan lebih banyak penyesuaian dilakukan oleh pengguna.

Eksklusif untuk Siri Pixel 10 ialah pelbagai ciri baharu yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI). Magic Cue merupakan satu integrasi cadangan berasaskan ejen pintar yang memanfaatkan pembelajaran mesin terbina pada peranti bagi menyediakan maklumat yang relevan kepada pengguna semasa perbualan teks atau panggilan telefon. Ciri ini mengimbas maklumat dalam e-mel, mesej, serta nota, lalu memaparkan cadangan yang bersesuaian untuk diisi secara automatik dalam mesej teks atau ditunjukkan semasa panggilan telefon dijalankan. Buat masa ini, ia hanya diintegrasikan dengan perkhidmatan Google seperti Gmail, Keep Notes, Google Messages, Google Calendar, dan sebagainya.

Camera Coach pula merupakan panduan maya berasaskan Gemini yang membantu pengguna mengambil foto melalui aplikasi Kamera dengan memberikan arahan langkah demi langkah untuk mendapatkan pembingkaian, pencahayaan, dan komposisi yang betul. Ciri ini tidak dijalankan terus pada peranti, dan oleh itu memerlukan sambungan internet untuk berfungsi.

Turut tersedia dalam aplikasi Kamera ialah mod “Instant View” yang baharu. Apabila paparan skrin dibuka, anda boleh melihat pratonton galeri foto yang baru diambil pada bahagian separuh kiri skrin, manakala bahagian separuh kanan skrin memaparkan pemindang tilik (viewfinder) langsung. Mod ini tersedia secara eksklusif untuk model Pixel 10 Pro Fold sahaja.

  1. ↑ "Review the Specs of the Pixel 10 Pro Fold". store.google.com. Dicapai pada 2025-08-25.
  2. ↑ Vlad. "Google Pixel 10 Pro Fold ups battery capacity and brings a larger cover display". GSMArena.com (dalam bahasa Inggeris AS). Dicapai pada 2025-08-27.
  3. ↑ "Introducing Pixel 10 Pro Fold: Google's most durable foldable phone". Google (dalam bahasa Inggeris AS). 2025-08-20. Dicapai pada 2025-09-17.
  4. ↑ Romero, Andrew (2025-08-14). "Pixel 10 Pro Fold will also have Qi2 charging and delayed release, reliable leaker says". 9to5Google (dalam bahasa Inggeris AS). Dicapai pada 2025-08-14.