Pergi ke kandungan

Undang Yang Empat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Undang (Negeri Sembilan))
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama-sama Undang Yang Empat dalam Perasmian Dewan Undangan Negeri Sembilan

Dato' Undang Yang Empat (sebutan dalam loghat tempatan: Undang Nan Ompek) ialah gelaran Pembesar Memerintah (Raja) bagi Negeri Sembilan. Undang bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin didefinisikan sebagai Raja bagi Negeri Sembilan mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.[1] Gelaran Undang mula digunakan apabila peristiwa "Putus Tali ke Johor" di mana Luak Berundang ini mendapat kemerdekaan penuh dari Sultan Johor dan berkerajaan sendiri.

Undang Yang Empat dalam suatu perhimpunan tahun 1897 (Chiefs of Negeri Sembilan, 1897 - dalam simpanan Arkib Negara British)

Asal-Usul dan Pengiktirafan Awal

[sunting | sunting sumber]

Undang pada asalnya adalah penghulu yang dilantik dalam kalangan suku Biduanda, iaitu suku pembesar Melayu berketurunan batin Orang Asli Sakai dan Jakun yang berkahwin campur dengan pembesar Kesultanan Johor Lama dan pembesar Minangkabau semasa zaman awal Negeri Sembilan.

Penghulu ini kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada Kesultanan Johor-Riau dan diperakui sebagai pemerintah berdaulat dalam wilayah masing-masing dan dipercayai mula memakai gelaran Undang pada abad ke-18.[1]

Kelestarian Kedudukan di Bawah Penjajahan

[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Undang sebagai pemerintah terus diiktiraf oleh Belanda dan British pada abad ke-19 selain Raja-raja Melayu lain dan memainkan peranan dalam mengasaskan institusi asas Tanah Melayu yang menjadi teras kewujudan Malaysia.

Sumbangan terhadap Institusi Persekutuan

[sunting | sunting sumber]

Sistem pelantikan dan penggiliran Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan Undang di Negeri Sembilan. Undang juga memainkan peranan dalam mengasaskan Rejimen Askar Melayu Diraja, penubuhan Majlis Perundingan Persekutuan yang kemudian menjadi Parlimen serta sistem pentadbiran awam Malaya (kini Malaysia).[1]

Kedudukan Dalam Perlembagaan

[sunting | sunting sumber]

Kedudukan di Sisi Perlembagaan

[sunting | sunting sumber]

Kedudukan dan keistimewaan Undang selaku Raja diiktiraf di bawah Perkara 71,[2] Perkara 160,[3] dan Perkara 181[4] Perlembagaan Persekutuan Malaysia, serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Negeri Sembilan mempunyai empat orang Undang yang mengetuai empat wilayah atau luak utama di negeri tersebut. Mereka terdiri daripada Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, dan Undang Rembau, yang secara kolektif dikenali sebagai Undang Yang Empat.

Peranan dan Kuasa Prerogatif

[sunting | sunting sumber]

Undang Yang Empat dianggap sebagai empat "beradik" yang mempunyai kuasa besar dalam menentukan hala tuju pemerintahan beraja di Negeri Sembilan. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar dikehendaki mendapatkan persetujuan Undang Yang Empat bagi sebahagian besar kuasa budi bicara Baginda di peringkat negeri.

Peranan paling utama Undang Yang Empat adalah untuk memilih dan menabal Yang di-Pertuan Besar mengikut peruntukan Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Selain itu, Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Undang Yang Empat untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, serta menarik balik segala kuasa dan keistimewaan Yang di-Pertuan Besar. Tindakan ini boleh diambil sekiranya penyandang didapati melanggar hukum syarak, bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh Negeri, atau dinilai tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.

Kuasa Persetujuan dan Keanggotaan Dewan

[sunting | sunting sumber]

Undang juga memegang peranan utama lain yang memerlukan kuasa persetujuan bersama berhubung perkara-perkara berikut:

Mengikut Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Undang Yang Empat merupakan ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (The Council of Yang di-Pertuan Besar and the Ruling Chiefs of Negeri Sembilan). Dewan ini dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar dan turut dianggotai oleh Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, serta Dato' Shahbandar Sungai Ujong.

Senarai Undang Yang Empat di Negeri Sembilan

[sunting | sunting sumber]

Secara tradisinya, Undang adalah Raja Melayu dalam jajahannya yang dikenali sebagai luak atau luhak. Pemilihan dan pelantikan Undang dilakukan oleh oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesebuah luak itu mengikut adat yang diamalkannya.

Luak Gelaran Pemerintah Sistem Pemilihan & Waris Sejarah Pemerintahan & Asal-Usul
Undang Luak Sungai Ujong, Negeri Sembilan Dato' Klana Petra Dipilih mengikut Adat Purbakala daripada Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir yang berpusat di Mukim Pantai, Seremban. Bermula sejak tahun 1760, dengan pelantikan Dato' Klana Petra Bador daripada Waris Hulu sebagai Undang yang pertama.


Undang Luak Jelebu, Negeri Sembilan Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dipilih secara bergilir-gilir dalam kalangan tiga waris berundang, iaitu Waris Ulu Jelebu, Waris Sarin, dan Waris Kemin. Diwujudkan pada tahun 1757, dengan Dato' Moyang Salleh sebagai Undang pertama selepas mencapai kemerdekaan daripada Kesultanan Johor.
Undang Luak Johol, Negeri Sembilan Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Ditentukan dan dipilih daripada susur galur Waris Johol Bukit Istana dan Baruh. Mula memerintah pada tahun 1723. Undang pertamanya merupakan seorang wanita yang bergelar Puteri Kanun atau Puteri Sitiawan.
Undang Luak Rembau, Negeri Sembilan Penyandang daripada Waris Biduanda Jakun digelar Dato' Lela Maharaja, manakala penyandang daripada Waris Biduanda Jawa digelar Dato' Sedia Raja. Dipilih secara bergilir antara Waris Biduanda Jawa dan Waris Biduanda Jakun bagi menyandang pusaka Undang Rembau. Diasaskan di Kampung Kota, Rembau pada tahun 1540 oleh Undang pertama, Dato' Seri Rama, ketika zaman pemerintahan Sultan Johor pertama, Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Penjawat Semasa

[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan penjawat semasa Undang Yang Empat mengikut laman web rasmi Kerajaan Negeri Sembilan.[5]

Senarai Semasa Undang Yang Empat Negeri Sembilan
Luak Gelaran Tradisional Nama Penyandang Semasa Tarikh Mula Memerintah Catatan / Status Penggiliran
Sungai Ujong Yang Teramat Mulia
Dato' Klana Petra
Muhammad Faris bin Johari 22 April 2026 Undang Luak Sungai Ujong ke-11. Beliau Undang yang dilantik pada tahun 2026 dan dimasyhurkan di Kampung Chedang, Seremban mengikut aturan Waris Hulu. Diiktiraf oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.
Jelebu Yang Teramat Mulia
Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman
Azrin bin Khairi 27 Ogos 2026 Undang Luak Jelebu ke-17. Beliau merupakan Undang yang dilantik pada tahun 2026 dan dimasyhurkan di Telapak Anak Waris Perut Ulu Jelebu (di Kampung Mengkan, Kuala Klawang) mengikut aturan Suku Biduanda Waris Berundang (Waris Perut Ulu Jelebu).
Johol Yang Teramat Mulia
Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan
Muhammed bin Abdullah 7 Oktober 2016 Undang Luak Johol ke-14. Beliau berasal daripada susur galur Waris Johol yang dilantik pada tahun 2016 dan dimasyhurkan di Rumah Balai Waris di-Baruh (di Kampung Tanggai, Johol) mengikut aturan Suku Biduanda (Waris Johol di-Baruh). Diiktiraf oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober 2016.
Rembau Yang Teramat Mulia
Dato' Sedia Raja
Hassan bin Ab Hamid 27 Jun 2026 Undang Luak Rembau ke-22. Dimasyhurkan secara rasmi bagi menggantikan Almarhum Datuk Muhamada Sharip Othman. Diiktiraf oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. 1 2 3 Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
  2. ↑ "Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan: Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri".
  3. ↑ "Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan".
  4. ↑ "Perkara 181: Kecualian bagi kedaulatan, dsb., Raja-Raja".
  5. ↑ "Undang dan Tunku Besar Tampin". Portal rasmi Kerajaan Negeri Sembilan. April 2024. Dicapai pada 30 Mei 2024.{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link)