Pergi ke kandungan

Boeing 720

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Boeing 720
720 serupa dengan Boeing 707 kerana fiuslaj yang sedikit pendek. Sini, 720 dalam livery Cyprus Airways mendarat di London Heathrow
Maklumat am
PerananPesawat berbadan sempit
Negara asalAmerika Syarikat
PengeluarBoeing Commercial Airplanes
StatusDibersarakan
Pengguna utamaUnited Airlines
Jumlah dibina154[1]
Sejarah
Dikilangkan1959–1967[2][3]
Tarikh diperkenalkan5 Julai 1960 dengan United Airlines
Penerbangan sulung23 November 1959
Retired29 September 2010[4]
Dibangunkan dariBoeing 707

Boeing 720 ialah sebuah pesawat penumpang berbadan sempit Amerika Syarikat yang telah bersara dan pernah dikeluarkan oleh Boeing Commercial Airplanes. Diumumkan pada Julai 1957 sebagai varian terbitan 707 untuk penerbangan yang lebih pendek dari landasan yang lebih singkat, siri 720 melakukan penerbangan sulungnya pada 23 November 1959. Sijil jenisnya telah dikeluarkan pada 30 Jun 1960, dan ia mula berkhidmat dengan United Airlines pada 5 Julai 1960. Sejumlah 154 buah Boeing 720 dan 720B telah dibina; pengeluarannya berakhir pada tahun 1967. Sebagai sebuah model terbitan, pesawat 720 mempunyai kos pembangunan yang rendah, sekali gus membolehkannya mencapai keuntungan biarpun mencatatkan jumlah jualan yang agak sedikit.

Berbanding dengan 707-120, ia mempunyai panjang yang dikurangkan sebanyak 8.33 kaki (2.54 m), sayap yang diubah suai serta kerangka pesawat yang diringankan untuk mencapai berat pelepasan maksimum yang lebih rendah. Pada asalnya direka untuk dikuasakan oleh empat enjin turbojet Pratt & Whitney JT3C, model awal 720 mampu menampung jarak jangkauan sejauh 2,800-batu-nautika [nmi] (5,200 km; 3,200 bt) dengan 131 penumpang dalam dua kelas. Varian 720B yang dikonfigurasi semula dan dikuasakan oleh enjin turbofans JT3D, melakukan penerbangan sulung pada 6 Oktober 1960 dan mula berkhidmat pada Mac 1961. Ia mampu memuatkan 156 penumpang dalam satu kelas bagi jarak jangkauan sejauh 3,200-batu-nautika [nmi] (5,900 km; 3,700 bt). Beberapa buah pesawat 720 kemudiannya telah ditukar kepada spesifikasi 720B. Model ini akhirnya digantikan oleh pesawat trijet Boeing 727.

Pembangunan

[sunting | sunting sumber]

707 jarak lebih pendek

[sunting | sunting sumber]
Boeing 720 melakukan penerbangan sulungnya pada 23 November 1959.

Boeing mengumumkan rancangannya untuk membangunkan versi baharu pesawat 707 pada Julai 1957.[1] Ia dibangunkan daripada model 707-120 untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan jarak pendek hingga sederhana dari landasan yang lebih singkat. Model ini pada asalnya dinamakan sebagai 707-020 sebelum ditukar kepada 720 atas cadangan daripada United Airlines.[5] Berbanding dengan 707-120, ia mempunyai kurang empat bingkai fiuslaj (*frame*) di bahagian hadapan sayap dan kurang satu bingkai di bahagian belakang, menjadikan pengurangan panjang keseluruhan sebanyak 8 kaki 4 inci (2.54 m).[6]

Model baharu ini direka dengan berat pelepasan maksimum yang lebih rendah berserta sayap yang diubah suai dan kerangka pesawat yang diringankan. Pengubahsuaian pada sayap termasuklah pemasangan flap Krueger di bahagian luar enjin luaran untuk mengurangkan kelajuan berlepas dan mendarat—sekali gus memendekkan keperluan panjang landasan—serta bahagian tepi depan (*leading edge*) dalaman yang ditebalkan dengan sudut sapuan (*sweep*) yang sedikit lebih besar. Pengubahsuaian ini berjaya meningkatkan kelajuan maksimum berbanding model 707-120.[6] Pesawat ini dilengkapi dengan empat enjin turbojet Pratt & Whitney JT3C-7 yang masing-masing menghasilkan daya tujah sebanyak 12,500 lbf (55.6 kN).[7]

Pada satu ketika dalam fasa pembangunan, ia pernah dikenali sebagai 707-020, kemudian 717-020,[5] walaupun penamaan 717 tersebut sebenarnya merupakan kod reka bentuk Boeing untuk pesawat tentera KC-135 dan kekal tidak digunakan bagi pesawat komersial sehinggalah ia diterapkan pada pesawat MD-95, susulan penggabungan Boeing dengan McDonnell Douglas pada tahun 1997.[8]

Oleh kerana sistem pesawat ini adalah serupa dengan Boeing 707, tiada prototaip khusus Boeing 720 yang dibina; sebarang sistem yang berbeza diuji menggunakan pesawat ujian Boeing 367-80.[9] Pesawat 720 yang pertama melakukan penerbangan sulungnya pada 23 November 1959.[6] Sijil jenis untuk siri 720 telah dikeluarkan pada 30 Jun 1960. Ia mula berkhidmat buat kali pertama dengan United Airlines pada 5 Julai 1960;[6] sebanyak 65 buah pesawat bagi versi asal ini telah dibina.[10]

Pembangunan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Versi 720B bagi model 720 menggunakan enjin turbofan JT3D,[6] yang masing-masing menghasilkan daya tujah sebanyak 17,000 lbf (75.6 kN).[7] Enjin JT3D ini mempunyai kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah serta daya tujah yang lebih tinggi.[11] Berat pelepasan maksimum untuk varian 720B telah ditingkatkan kepada 234,000 lb (106,000 kg). Pesawat 720B pertama kali terbang ke udara pada 6 Oktober 1960, dan menerima pensijilan serta mula berkhidmat dengan American Airlines pada Mac 1961;[7] sebanyak 89 buah 720B baharu telah dibina,[10] di samping kerja-kerja penukaran ke atas 10 buah pesawat 720 sedia ada milik American Airlines.[12]

Sebagai satu bentuk modifikasi daripada model sedia ada, pesawat 720 menelan kos penyelidikan dan pembangunan yang minimum, yang membolehkannya mengecap kejayaan ekonomi biarpun mencatatkan jumlah jualan yang kecil.[13] Syarikat itu membina sejumlah 154 buah pesawat Boeing 720 dan 720B dari tahun 1959 hingga 1967.[2] Pengubahsuaian reka bentuk sayap pesawat 720 ini kemudiannya turut diterapkan pada model 707-120B serta pada pesawat 707-120 sedia ada yang diubah suai kepada piawaian B.[perlu rujukan]

Reka bentuk

[sunting | sunting sumber]
Pesawat 720 adalah sedikit lebih pendek daripada 707 dan mempunyai sayap yang diubah suai.

Boeing 720 ialah sebuah pesawat monoplan sayap rendah julur dengan empat enjin. Walaupun ia serupa dengan Boeing 707, berbanding dengan 707-120, panjangnya adalah 8 ka 4 in (2.54 m) lebih pendek,[5] serta mempunyai struktur yang lebih ringan melalui penggunaan bahagian logam ditempa yang lebih ringan serta struktur dan kulit fiuslaj yang lebih nipis.[13]

Pintu kecemasan paling belakang di atas sayap pada siri 707 telah dipadamkan pada setiap sisi bagi model ini, sekali gus mengurangkan kapasiti penumpang. Walau bagaimanapun, penyediaan dua pintu kecemasan di atas sayap ditawarkan sebagai pilihan untuk konfigurasi penumpang ketumpatan tinggi.[13]

Pesawat 720 menggunakan reka bentuk sayap yang diperbaik berasaskan sayap 707. Lebar rentang sayapnya kekal sama seperti model 707-120. Bagi siri 720, bahagian sayap di antara fiuslaj dan enjin dalaman telah diubah suai dengan menambah sehelai sarung paksi sayap (*wing root glove*).[14] Sarung ini mengurangkan daya seretan sayap dengan mengurangkan kelengkungan (*decambering*) pada paksi sayap, sekali gus mengurangkan "kesan tengah" (*middle effect*) dan meningkatkan sudut sapuan sayap tempatan yang berkesan. Penambahan sarung paksi sayap ini dilaporkan berjaya meningkatkan nombor Mach seretan mencapah bagi sayap tersebut sebanyak Mach 0.02.[15]

Walaupun pada awalnya dilengkapi dengan enjin turbojet, enjin utama yang paling banyak digunakan untuk Boeing 720 ialah Pratt & Whitney JT3D, iaitu sebuah varian turbofan daripada enjin JT3C yang mempunyai kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah serta daya tujah yang lebih tinggi. Pesawat siri 720 yang menggunakan enjin JT3D diberikan akhiran "B"; beberapa buah pesawat 720B milik American Airlines merupakan hasil penukaran daripada pesawat 720 asal yang dikuasakan oleh enjin JT3C.[11]

Sama seperti siri 707, pesawat 720/720B menggunakan pemampat gas turbo yang dipacu oleh enjin untuk membekalkan udara bertekanan tinggi bagi pembertekanan kabin. Enjin pesawat tidak dapat membekalkan udara tuang (*bleed air*) yang mencukupi bagi tujuan tersebut tanpa menyebabkan kehilangan daya tujah yang serius. Saluran masuk udara yang kecil beserta bonjolan yang berkaitan boleh dilihat jelas tepat di atas saluran masuk enjin utama pada dua pod enjin dalaman bagi semua pesawat 720 dan 720B. Ketiadaan saluran masuk pemampat turbo pada pod luaran sebelah kanan (enjin nombor 4) membantu pemerhati pesawat (*spotter*) membezakan model 720/720B daripada kebanyakan pesawat 707, yang biasanya mempunyai tiga pemampat turbo.

Dek penerbangan Boeing 720.

Peralatan lain

[sunting | sunting sumber]

Boeing 720 tidak dilengkapi dengan unit kuasa bantuan (APU), dan sebaliknya bergantung sepenuhnya pada kuasa darat serta udara pneumatik untuk menghidupkan sistem pesawat, menyediakan penghawa dingin, dan menghidupkan enjin semasa berada di darat. Amalan biasa bagi pesawat Boeing 720 adalah dengan menghidupkan enjin nombor tiga (enjin dalaman sebelah kanan) terlebih dahulu, kemudian memutuskan sambungan kuasa dan udara darat. Sebaik sahaja sebuah enjin telah berfungsi, udara tuang daripada enjin tersebut boleh digunakan untuk membekalkan tekanan udara yang diperlukan bagi menghidupkan enjin-enjin yang lain satu demi satu. Semasa di darat, dengan adanya krew penghidup darat yang bersiap sedia, kesemua empat enjin biasanya dihidupkan dengan bantuan krew darat kerana cara ini adalah lebih dipercayai dan lebih pantas.

Sejarah operasi

[sunting | sunting sumber]
United Airlines mula memperkenalkan siri 720 pada 5 Julai 1960.[10]

Pesawat pertama yang dikeluarkan adalah untuk United Airlines dan telah melakukan penerbangan sulung pada 23 November 1959. Sijil jenis untuk siri 720 telah dikeluarkan pada 30 Jun 1960. Penerbangan komersial pertama bagi pesawat 720 ini dikendalikan oleh United Airlines pada 5 Julai 1960[10] bagi laluan Los Angeles–Denver–Chicago. American Airlines menyusul kemudian dengan meletakkan pesawat 720 dalam operasi komersial pada 31 Julai tahun yang sama. Pada 2 Jan 1962, pesawat Boeing 720B pertama milik Pakistan International Airlines (PIA) – sebuah Boeing 720-040B (pendaftaran AP-AMG) yang dikemudikan oleh Kapten Abdullah Baig dan pembantu juruterbang Kapten Taimur Baig – telah mencatatkan rekod dunia bagi kelajuan di laluan udara komersial semasa penerbangan penghantaran dari London ke Karachi, Pakistan. Penerbangan tersebut mengambil masa 6 jam 43 minit 55 saat dengan kelajuan purata 938.78 km/j (583.33 mph).[16][17]

Kedudukan pesawat 720 mula diambil alih oleh Boeing 727 pada pertengahan tahun 1960-an bagi pasaran pesawat jarak sederhana berprestasi tinggi.[5] Pada penghujung 1960-an, pesawat siri 720 dan 720B telah digunakan oleh tentera Amerika Syarikat untuk mengangkut tentera bagi menyokong usaha perang di Timur Jauh. Bahagian dalaman pesawat-pesawat ini telah ditanggalkan pembahagi kelasnya. Beberapa penerbangan ini berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Travis, California dan terbang tanpa henti ke Jepun. Sekurang-kurangnya salah satu tapak pendaratan yang digunakan ialah Pangkalan Udara Yokota, Jepun, sebelum anggota tentera meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir mereka.

Selepas syarikat penerbangan utama menamatkan perkhidmatan pesawat 720 mereka, banyak daripada pesawat ini telah diperoleh oleh pengendali kelas kedua di Amerika Selatan dan kawasan-kawasan lain.

Program Demonstrasi Impak Terkawal menggunakan sebuah pesawat siri 720 milik FAA.

Pada tahun 1984, sebuah Boeing 720 yang diterbangkan menggunakan alat kawalan jauh telah dihempaskan secara sengaja di Pangkalan Tentera Udara Edwards sebagai sebahagian daripada program Demonstrasi Impak Terkawat oleh FAA dan NASA. Ujian tersebut membekalkan data mengenai pecutan puncak semasa berlakunya kemalangan. Prestasi bahan api perencat api juga turut diuji dalam demonstrasi ini.[18]

Pesawat 720 yang pertama (N7201U) kemudiannya telah dinamakan semula sebagai "The Starship" dan menjadi sebuah jet sewa swasta yang digunakan terutamanya oleh kumpulan-kumpulan muzik rock yang sedang mengadakan siri jelajah. Pengguna utamanya ialah Led Zeppelin pada tahun 1970-an. Kapasiti tempat duduk pesawat telah dikurangkan dan sebuah bar bersama-sama organ elektrik terbina dalam telah ditambah, di samping penyediaan tempat tidur, bilik mandi, ruang santai, televisyen dan pemain kaset video.[19]

Syarikat Honeywell mengendalikan pesawat Boeing 720 terakhir di Amerika Syarikat, yang terbang keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor di Phoenix, Arizona. Pesawat tersebut telah diubah suai dengan memuatkan nacelle enjin tambahan yang dipasang pada sebelah kanan fiuslaj bagi membolehkan ujian enjin turbin dilakukan pada ketinggian tinggi. Ia beroperasi di bawah persijilan khas yang membenarkannya digunakan bagi tujuan eksperimen. Pesawat siri 720B ini akhirnya dilupuskan pada 21 dan 22 Jun 2008.[20] Honeywell menggantikan pesawat berkenaan dengan sebuah Boeing 757.

Pratt & Whitney Canada (PWC) pula mengendalikan pesawat 720 terakhir yang masih terbang (C-FETB) sehingga tahun 2010. C-FETB dibina sebagai N7538A pada tahun 1960 dan pada asalnya diterbangkan oleh American Airlines, sebelum digunakan kemudiannya oleh Middle East Airlines sebagai OD-AFQ. Ia dibeli oleh PWC pada Disember 1985 dan diubah suai antara Oktober 1986 dan Januari 1988 untuk digunakan sebagai pesawat ujian enjin terbang. Secara dalaman, ia dikenali sebagai FTB1 (*Flying Test Bed 1*). C-FETB digunakan untuk menguji pelbagai jenis enjin dengan keupayaan membawa enjin turbofan yang besar bagi menggantikan enjin dalaman pada sayap kanan. Selain itu, sebuah enjin turbofan kecil juga boleh dipasang pada sebelah kanan fiuslaj hadapan manakala sebuah enjin turboprop boleh dipasang pada bahagian muncung pesawat yang telah diubah suai.[21] Penerbangan operasi terakhirnya dilakukan pada 29 September 2010.[22] Pratt & Whitney Canada menggantikan pesawat ujian tersebut dengan sebuah Boeing 747SP.[4] Pada Mei 2012, bekas pesawat 720 milik PWC ini telah diterbangkan ke CFB Trenton, Ontario, untuk dipamerkan di Muzium Tentera Udara Diraja Kanada.

720
Varian pengeluaran pertama dengan empat enjin turbojet Pratt & Whitney JT3C.
Beberapa pesawat dengan konfigurasi tempat duduk ketumpatan tinggi yang dihantar kepada Eastern Airlines dilengkapi dengan empat pintu kecemasan di atas sayap serta kipas penyejuk brek untuk membolehkan pusingan balik pantas (*quick turn*) bagi sektor penerbangan jarak dekat.[perlu rujukan] Pesawat-pesawat ini, yang diberikan penamaan "720-025", telah diperakui untuk membawa sehingga 170 orang penumpang, dengan syarat keperluan keselamatan tertentu dipenuhi.[23]
720B
Varian yang diperbaik dengan empat enjin turbofan Pratt & Whitney JT3D; American Airlines telah mengubah suai pesawat siri 720 sedia ada miliknya kepada piawaian 720B.[11]

Insiden dan kemalangan

[sunting | sunting sumber]
Sebuah pesawat siri 720 milik Middle East Airlines yang musnah semasa Operasi Keamanan untuk Galilee.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Boeing 720 telah mengalami 23 kemalangan yang mengakibatkan kemusnahan keseluruhan pesawat (*hull-loss*); ia juga terlibat dalam beberapa insiden termasuk sembilan kes rampasan pesawat dan sebuah pesawat musnah akibat letupan bom di ruang udara pada tahun 1976. Hanya 12 daripada kemalangan *hull-loss* tersebut yang melibatkan kemalangan jiwa dengan jumlah 175 kematian, di samping 81 kematian di dalam pesawat yang musnah di udara akibat bom berkenaan.[24]

Antara kemalangan terburuk yang direkodkan ialah:[24]

  • Pada 12 Februari 1963, Penerbangan 705 Northwest Orient Airlines, sebuah Boeing 720-051B (pendaftaran N724US), hancur di udara ketika terbang di atas kawasan paya Everglades, Florida, kira-kira 12 minit selepas berlepas dari Miami menuju ke Chicago. Kesemua 35 penumpang dan lapan anak kapal terkorban. Punca nahas disahkan akibat kehilangan kawalan yang tidak dapat dipulihkan berikutan gelora udara (*turbulence*) yang sangat teruk.[25]
  • Pada 20 Mei 1965, Penerbangan 705 Pakistan International Airlines, sebuah Boeing 720-040B (pendaftaran AP-AMH), terhempas sebelum sempat sampai ke landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, mengorbankan 121 daripada 127 orang di dalamnya.[26]
  • Pada 8 Disember 1972, tujuh anggota Front Pembebasan Eritrea telah merampas Penerbangan 708 Ethiopian Airlines, sebuah Boeing 720-060B, yang sedang dalam perjalanan menuju ke Paris. Anggota keselamatan di dalam pesawat segera melepaskan tembakan dan berjaya menewaskan kesemua perampas kecuali seorang (perampas terakhir yang terselamat itu kemudiannya meninggal dunia di hospital). Semasa pergelutan tersebut, sebutir bom tangan telah meletup dan merosakkan kabel kawalan di bawah lantai kabin. Walau bagaimanapun, juruterbang berjaya melakukan junaman terkawal dan mendaratkan semula pesawat dengan selamat di Addis Ababa tanpa sebarang kehilangan nyawa tambahan.
  • Pada 1 Januari 1976, Penerbangan 438 Middle East Airlines, sebuah Boeing 720-023B (pendaftaran OD-AFT), musnah ketika dalam penerbangan dari Beirut ke Dubai akibat sebutir bom yang meletup di ruang kargo hadapan. Kesemua 66 penumpang dan 15 anak kapal terkorban.[27]

Pesawat yang dipamerkan

[sunting | sunting sumber]

Spesifikasi (Boeing 720-048)

[sunting | sunting sumber]

Data dari [40][41]

Ciri-ciri umum

  • Krew: 3 orang anak kapal
  • Kapasiti: 131–137 orang penumpang dalam dua kelas, 156 orang dalam satu kelas
  • Panjang: 136 ka 2 in (41.50 m)
  • Rentang sayap: 130 ka 10 in (39.88 m)
  • Lebar: 12 ka 4 in (3.76 m) (fiuslaj)
  • Tinggi: 41 ka 5 in (12.62 m)
  • Berat kosong: 110,800 lb (50,258 kg)
  • Berat kasar: 230,000 lb (104,326 kg)
  • Berat berlepas maks: 229,300 lb (104,009 kg)
  • Kapasiti bahan api: 16,060 US gal (13,370 imp gal; 60,800 L) atau 2,150 ka3 (61 m3)
  • Janakuasa: 4 × Pratt & Whitney JT3C-7 enjin turbojet, 12,000 lbf (53 kN) tujahan setiap enjin

Prestasi

  • Halaju maksimum: 460 mph (740 km/j, 399 kn) pada ketinggian 23,400 ka (7,100 m)
  • Kelajuan maksimum: Mach 0.906
  • Minimum control speed: 115 mph (185 km/j, 100 kn)
  • Jarak: 3,200 bt (5,200 km, 2,800 nmi) dengan 131 orang penumpang
  • Had khidmat: 42,000 ka (13,000 m)
  • Jarak berlepas: 9,000 ka (2,700 m)
  • Jarak mendarat: 6,200 ka (1,900 m)

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pembangunan berkaitan

Pesawat setanding

Senarai berkaitan

  1. 1 2 Angelucci, Enzo; Paolo Matricardi and Adriano Zannino. The Illustrated Encyclopedia of Civil Aircraft: From Leonardo da Vinci to the Present, p. 346. Edison, New Jersey US: Chartwell Books, 2001. ISBN 0-7858-1389-6.
  2. 1 2 "Boeing 707/720 Short History." Diarkibkan Jun 29, 2011, di Wayback Machine Boeing. Retrieved: December 27, 2009.
  3. ↑ 707/720 Commercial Transport — Historical Snapshot; Diarkibkan Januari 29, 2023, di Wayback Machine Retrieved: January 29, 2023
  4. 1 2 Niles, Russ. "Last Boeing 720 Retired". avweb.com, October 5, 2010. Retrieved: October 18, 2020.
  5. 1 2 3 4 "Boeing 720". Boeing Commercial Airplanes. Diarkibkan daripada yang asal pada September 3, 2011. Dicapai pada July 7, 2011.
  6. 1 2 3 4 5 Frawley, Gerald. "Boeing 720". The International Directory of Civil Aircraft, 2003/2004. Fishwick, Act: Aerospace Publications, 2003. ISBN 1-875671-58-7.
  7. 1 2 3 Donald, David, ed. The Complete Encyclopedia of World Aircraft. New York: Barnes & Noble Books, 1997. ISBN 0-7607-0592-5.
  8. ↑ Lombardi, Michael. "The first KC-135 rolled out 50 years ago this month." Historical Perspective, Start of a Proud Mission: Boeing Frontiers. Boeing, July 2006. Retrieved: April 17, 2010.
  9. ↑ Pither 1998, p. 29.
  10. 1 2 3 4 Boeing 720 Diarkibkan September 3, 2011, di Wayback Machine. Boeing
  11. 1 2 3 "Boeing 720". Airliners.net. Dicapai pada January 10, 2012.
  12. ↑ Pither 1998, p. 30
  13. 1 2 3 Proctor, Jon; Mike Machat; Craig Kodera (2010). From Props to Jets: Commercial Aviation's Transition to the Jet Age 1952–1962. North Branch, MN: Specialty Press. m/s. 118–120. ISBN 978-1-58007-146-8.
  14. ↑ "The Boeing 720". Flight, August 19, 1960.
  15. ↑ Cook, William H. The Road to the 707: The Inside Story of Designing the 707. Bellevue, Washington: TYC Publishing, 1991. ISBN 978-0-9629605-0-5.
  16. ↑ "FAI Record ID #7679". Diarkibkan daripada yang asal pada September 22, 2017. Dicapai pada Januari 1, 2017.
  17. ↑ fai.org via historyofpia.com "1962 - PIA Boeing 720B Record Flight Info on FAI Website"
  18. ↑ "Flight test experience and controlled impact of a remotely piloted jet transport aircraft, NASA-TM-4084." NASA, November 1, 1988. Retrieved: December 27, 2009.
  19. ↑ Filem The Song Remains The Same
  20. ↑ "Resident Boeing 720B." visitingphx.com. Retrieved: December 27, 2009.
  21. ↑ Kelly, Michael (2013-09-23), Pratt & Whitney Boeing 720 C-FETB, dicapai pada 2023-01-18
  22. ↑ "P&WC Boeing 720B "Red" Flying Test Bed bids farewell". Diarkibkan daripada yang asal pada February 22, 2022. Dicapai pada October 20, 2020.
  23. ↑ FAA Type Certificate Data Sheet http://rgl.faa.gov/Regulatory_and_Guidance_Library/rgMakeModel.nsf/0/b72df74d3b1847ad852567240060a02d/$FILE/4a28.PDF Diarkibkan Oktober 24, 2020, di Wayback Machine
  24. 1 2 "Boeing 720". Aviation Safety Network. Dicapai pada 19 October 2013.
  25. ↑ "Northwest Airlines flight 705." Aviation-Safety.net. Retrieved: December 27, 2009.
  26. ↑ "ASN Aircraft accident Boeing 720-040B AP-AMH Cairo International Airport (CAI)". Aviation-safety.net. 1965-05-20. Dicapai pada 2013-03-27.
  27. ↑ Bladd, Joanne. "MEA flight 438." Aviation-Safety.net. Retrieved: December 27, 2009.
  28. ↑ Pither 1998, p. 311.
  29. ↑ 郭韋綺 (July 21, 2017). "岡山航空教育展示館 門票被嫌貴" (dalam bahasa Cina). China Times. Dicapai pada 2017-07-21.
  30. ↑ Boeing 720 at the ROCAF Aviation Education Exhibition Hall
  31. ↑ B-720專機-一樓地面展示區-航空教育展示館
  32. ↑ Planetarium PIA, Lahore
  33. ↑ AP-AXL
  34. ↑ Planetarium PIA, Karachi
  35. ↑ "B720 « National Air Force Museum of Canada". airforcemuseum.ca (dalam bahasa Inggeris AS). Diarkibkan daripada yang asal pada August 27, 2017. Dicapai pada 2017-08-26.
  36. ↑ AP-AXM
  37. ↑ Pither 1998, p. 308.
  38. ↑ Franco, Javier (February 29, 2012). "Uniendo el maletín retro de Avianca con sus Boeing 720 y 727". Dicapai pada 26 December 2014.
  39. ↑ Boeing 720 at the National Air Force Museum of Canada
  40. ↑ "707 Airplane characteristics for airport planning" (PDF). Boeing. May 2011. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada January 4, 2015.
  41. ↑ "Type certificate data sheet No. 4A28" (PDF). FAA. May 1, 1973. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada October 24, 2020. Dicapai pada March 21, 2020.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • "707/720 Commercial Transport > Historical Snapshot". Boeing. Diarkibkan daripada yang asal pada February 7, 2017. Dicapai pada March 23, 2020.
  • Caidin, Martin. Boeing 707. New York: Bantam Books, 1959.
  • Price, Alfred. The Boeing 707. Leatherhead, Surrey, UK: Profile Publications, 1967.
  • Schiff, Barry J. The Boeing 707. Blue Ridge Summit, PA: Tab Books, 1982, First edition 1967, . ISBN 0-8168-5653-2.
  • Whittle, John A. The Boeing 707 and 720. Tonbridge, Kent: Air Britain (Historians), 1972. ISBN 0-85130-025-1.
  • Bradley, Catherine (1983). Boeing 707 Super Profile. Yeovil, Somerset UK: Haynes Publishing, 1983. ISBN 0-85429-356-6.
  • Lloyd, Alwyn T. Boeing 707 & AWACS in Detail and Scale. Falbrook, CA: Aero Publishers, 1987. ISBN 0-8306-8533-2.
  • Bowers, Peter M. (1989). Boeing Aircraft since 1916. London: Putnam Aeronautical Books, 1989. ISBN 0-85177-804-6.
  • Cook, William H. Road to the 707: The Inside Story of Designing the 707. Bellevue, WA: TYC Publishing Company, 1991. ISBN 0-9629605-0-0.
  • Cearley, George Walker. Boeing 707 & 720: A Pictorial History. Dallas, TX: G.W. Cearley Jr, 1993. No ISBN.
  • Smith, Paul Raymond. Boeing 707 – Airline Markings No. 3. Shrewsbury, Shropshire, UK: Swan Hill Press, 1993. ISBN 1-85310-087-0.
  • Irving, Clive (1994). Wide Body: The Making of the Boeing 747. Philadelphia: Coronet, 1994. ISBN 0-340-59983-9.
  • Wilson, Stewart. Boeing 707, Douglas DC-8, and Vickers VC-10. Fyshwick, Australia, ACT: Aerospace Publications Pty Ltd., 1998. 1-875671-36-6.
  • Francillon, René. Boeing 707: Pioneer Jetliner. Shrewsbury, Shropshire, UK: Motor Books International, 1999. ISBN 0-7603-0675-3
  • Wilson, Stewart (1999). Airliners of the World. Fyshwick, ACT, Australia: Aerospace Publications Pty Ltd., 1999. ISBN 1-875671-44-7.
  • Proctor, Jon (2001). Boeing 720. "Great Airliners". Jil. 7. Miami, FL: World Transport Press. ISBN 1-892437-03-1.
  • Winchester, Jim. Boeing 707. Shrewsbury, Shropshire, UK: Airlife, 2002. ISBN 1-84037-311-3.
  • Stachiw, Anthony L. and Andrew Tattersall. Boeing CC137 (Boeing 347C) in Canadian Service. St. Catherines, ON: Vanwell Publishing Ltd., 2004. ISBN 1-55125-079-9.
  • Breffort, Dominique. Boeing 707, KC-135 and Civilian and Military Versions. Paris: Histoire & Collections, 2008. ISBN 978-2-35250-075-9.